Sunday, 25 February 2018

EKSPO TERENGGANU 2018 : Pelajar, Guru Kumpulan Pertama Mula Banjiri Ekspo

SHARE
Pengunjung mengambil peluang bergambar kenangan di hadapan replika hastaq Terengganu Molek Doh di hadapan pintu utama Ekspo Terengganu 2018. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Pengunjung Ekspo Terengganu 2018 teruja dapat menerokai sendiri keunikan dan keistimewaan yang julung kali dipaparkan di bawah satu bumbung mengenai Terengganu.

Antara pengunjung kumpulan pertama ke ekspo yang berlangsung tujuh hari dan membuka tirai hari ini, adalah pelajar dan guru pengiring yang mengikuti program Bengkel Motivasi PT3 yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bermula seawal jam 8.30 pagi, di pentas utama, di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Siti Haslinda
Seorang guru, Siti Haslinda Hassan, 38, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Awang Jabar, Marang, berkata dia dan pihak sekolah sangat berbangga dapat menyertai program pada hari pertama itu dan membawa bersama 42 pelajar Tingkatan Empat sekolah berkenaan yang akan menerokai pelbagai aktiviti disediakan penganjur.

Katanya, ekspo ini amat bermanfaat kepada pelajar kerana menjadi platform berguna untuk mendapat input mengenai Terengganu dan pembangunannya terutama dalam sektor Pendidikan negeri.

Iskandar
“Saya lihat ekspo ini sangat penting dan boleh memberi kesan yang positif kepada rakyat tanpa mengira usia dan bidang profesion untuk mendapatkan segala maklumat yang tepat secara langsung terutama berkaitan pencapaian semasa negeri,”katanya.

Seorang pelajar, Mohd Iskandar Hassan, 16, dari SMK Datuk Awang Jabar  pula mahu menerokai lebih banyak keunikan dan keistimewan yang ada di Ekspo Terengganu 2018.

“Seronok dan saya mahu tahu banyak benda dalam ekspo. Saya pertama kali menyertai program begini dan pasti peluang ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Syafiqa Syazwani
Bagi seorang lagi pelajar, Syafiqa Syazwani Elman, 14, dari Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, berkata kali pertama dia dapat menyertai ekspo yang besar seumpama ini yang menghimpunkan pelbagai aktiviti serta  segmen mengenai Terengganu dan pasti tiada di tempat lain.

“Apabila sudah terokai semua, sambil menambah informasi kita akan rasa teruja dan berbangga menjadi rakyat Terengganu dan rasa bertuah kerana lebih kenal sejarah dan tarikan negeri sendiri,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Elisya Elyana Mohd Afendi, 13, SMK Sungai Tong, Setiu, mewakili lima pelajar Tingkatan Satu daripada keseluruhan 24 pelajar sekolahnya  pertama kali dapat menyertai program ekspo terbesar begini.

Elisya Elyana
"Saya tertarik tengok banyak pameran. Macam-macam ada dan ada binatang yang sukar kita jumpa di depan mata, seperti ular, landak, arnab dan ikan gergasi,"katanya.

Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung sepanjang tujuh hari bermula hari ini, bakal menawarkan hadiah cabutan bertuah lumayan kepada pengunjung dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Kebanyakan hadiah-hadiah tersebut adalah hasil penajaan dan juga sumbangan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta serta orang perseorangan termasuk ahli korporat anak Terengganu.

Perdana Menteri, Dato’ Sri  Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan menyempurnakan majlis penutup Ekspo Terengganu 2018 di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak pada pagi 3 Mac ini.



Ekspo yang menggunakan hashtag #terengganumolekdoh itu akan berkongsi serta mempersembahkan kemajuan yang dikecapi Terengganu kepada orang ramai menerusi tiga kluster utama, iaitu Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Daerah serta Kluster Portfolio bagi menonjolkan kemajuan yang dikecapi Terengganu kepada seluruh rakyat.

Majlis perasmian ekspo dijadual akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada petang esok (26 Februari).

   


SHARE

Author: verified_user

0 komen: