Tuesday, 27 February 2018

EKSPO TERENGGANU 2018 : Ampicoach Terus Jadi Tarikan

SHARE


Hari ketiga Ekspo Terengganu 2018 di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus menyaksikan bas dua alam, Ampicoach terus mendapat perhatian pengunjung yang datang dari seluruh daerah.


Ampicoach yang menjadi viral di media sosial sejak minggu lalu menjadi satu tarikan utama ekspo kali ini dan kebanyakan pengunjung teruja untuk melihat secara dekat bas dua alam  yang dipandu uji dalam Sungai Terengganu, minggu lalu.

Nurul Ainur

Bagi Nurul Ainur Maznifa Mat Yusup, 20, dari Kampung Peroh, Hulu Terengganu berkata, dia mengetahui mengenai bas itu melalui televisyen dan tidak menyangka berpeluang melihatnya di depan mata.

Nurul Ainur yang hadir bersama 40 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) daerah itu turut berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakannya yang lain kerana dapat pengalaman yang berharga dan boleh dikongsikan dengan keluarga yang lain.

"Saya nak naik bas ni kalau beri peluang, bas ni boleh masuk dalam air...saya tak takut pun kalau dapat naik,"katanya.

Sementara itu, Nadiana Saimun, 39, dari Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu pula sanggup datang buat kali kedua ke ekspo ini bersama suami, Mohd. Kamal Arifin Jais, 49, dan anak sulungnya semata-mata untuk melihat bas sebutan ramai itu.
Nadiana

"Doh (sudah) mari hari pertama tapi dok (tidak) jumpa kat mana bas ni..sebab tu mari lagi hari ketiga memandangkan suami pulang dari kerja awal hari ini.

"Semasa di hari pertama saya tidak sempat untuk mencari di mana bas ini dipamerkan dan memandangkan suami pulang dari kerja awal hari ini jadi saya ajak mereka ke sini...cukup puas hati  bila dapat tengok depan mata berbanding tengok dalam Youtube,"katanya lagi.

Untuk rekod, Amphicoach yang bersaiz 12.2 meter panjang, 2.35 meter (lebar) dan 3.26 meter (tinggi) mempunyai kelajuan maksimum sebanyak 110km/j di darat serta 8 knots (air).

SHARE

Author: verified_user

0 komen: