Sunday, 25 February 2018

EKSPO TERENGGANU 2018 : 1,200 Pengunjung Serbu Daftar Cabutan Bertuah Dua Jam Pertama

SHARE
Pengunjung beratur bagi mendaftar dan mendapatkan pasport cabutan bertuah menerusi 12 kaunter yang disediakan di pintu masuk utama Ekspo Terengganu 2018. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Ekspo Terengganu 2018 di Pekarangan Komlpleks Sukan Negeri Terengganu, yang membuka tirai hari ini menyaksikan kira-kira 1,200 pengunjung mendaftar untuk mendapatkan pasport Cabutan Bertuah yang menyediakan hadiah lumayan termasuk lot tanah dan seunit rumah bermula seawal jam 10 pagi ini.

Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu, Anuar Nik Mohamad Noor berkata, pihaknya menyediakan lebih 30 petugas pada setiap hari yang dibahagikan kepada dua sesi, masing-masing 9.30 pagi hingga 4 petang dan 3 petang hingga 10 malam.
Anuar 


"Setakat dua jam terawal, kita sudah menerima pendaftaran kira-kira 1,200 orang pengunjung yang mendaftar masuk menerusi pintu masuk utama Ekspo Terengganu 2018 bermula seawal jam 10 pagi, sebaik sahaja pintu dibuka.

"Keadaan sehingga tengahari ini, terkawal dengan semua petugas dapat melaksanakan tugasan dengan baik serta lancar. Seramai 12 orang bertugas menjaga setiap kaunter bagi tujuan pendaftaran yang memerlukan pengunjung mengemukakan Mykad atau Mykid masing-masing sebelum pasport cabutan bertuah dikeluarkan kepada penama masing-masing,"katanya. 

Katanya, sebaik sahaja mendapat pasport berkenaan, pengunjung perlu mendapatkan cop di 16 `checkpoint'  kaunter yang akan diselia oleh empat petugas pada setiap masa termasuk di Kluster Negeri (satu), Kluster Daerah (satu), GLC (empat)  dan Kluster Portfolio (enam).



Sementara itu, Ketua Urusetia Pendaftaran Cabutan Bertuah, Mohd Azhar Bidin, berkata pihaknya melihat sambutan yang begitu luar biasa sebaik sahaja pintu ekspo dibuka dan menjangkakan semua 400,000 keping pasport yang dicetak akan habis sehingga 3 Mac, pada hari penutup program ini. 

Katanya, pihaknya mahu semua pengunjung menerokai setiap segmen dan kluster dan merasai sendiri pengalaman serta keseronokan yang dipersembahkan sepanjang tujuh hari ekspo yang bermula hari ini.

"Sekurang-kurangkanya mereka mendapat informasi berguna dan manfaat selain melihat sendiri cerita kejayaan pembangunan Negeri Terengganu,"katanya.




Menurutnya, antara pembangunan itu diketengahkan menerusi tiga kluster utama iaitu Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Daerah serta Kluster Portfolio.

Tambahnya, Kluster Kerajaan Negeri menceritakan pencapaian, perancangan dan inisiatif-inisiatif semasa kerajaan negeri, manakala Kluster Daerah mengetengahkan pencapaian dan perancangan pembangunan spesifik bagi setiap lapan daerah yang setiap satunya mempunyai keunikan dan potensi yang tersendiri.


Sementara Kluster Portfolio pula menampilkan pencapaian dan cerita kejayaan 10 portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: