Saturday, 17 February 2018

BN Terengganu Nekad Tawan Semua Kerusi Parlimen

SHARE
Ahmad Razif ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Gerak Gempur Tawan 4P Parlimen Kuala Nerus dan Jentera Pilihanraya Serta Majlis Pecah Tanah Bangunan UMNO Kuala Nerus di Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Barisan Nasional (BN) Terengganu nekad merampas kembali empat kerusi parlimen di negeri ini bagi membolehkan kesemua lapan kerusi parlimen menjadi milik mereka.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata buat masa sekarang, empat kerusi sedia ada milik BN bakal dikekalkan manakala empat lagi akan ditawan kembali.

Katanya yang juga Pengerusi BN negeri, keyakinan penuh diberikan berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh jentera-jentera BN dan UMNO.


"Pagi ini kita telah melancarkan Gerak Gempur Tawan 4P yang pertama di kuala Nerus. Malam ini di Marang dan selepas daripada itu di Dungun dan juga Kuala Terengganu.

"Kita berkeyakinan penuh dengan semangat jentera pilihanraya Barisan Nasional dan UMNO ini. Mereka begitu bersemangat terutama kepada empat parlimen yang kita ingin tawan ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerak Gempur Tawan 4P Parlimen Kuala Nerus dan Jentera Pilihanraya Serta Majlis Pecah Tanah Bangunan UMNO Kuala Nerus di Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Dato' Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus , Khairuddin Abdul Majid.


Tambah Ahmad Razif, dengan semangat yang sama ditunjukkan oleh jentera di parlimen Kuala Nerus, beliau yakin mampu merebut kembali tiga kerusi DUN dalam parlimen tersebut.

"Saya penuh yakin bahawa dalam Pilihanraya Umum 14 ini akan berpihak kepada BN dan kita akan dapat rampas kembali parlimen yang telah kita hilang dan juga tiga dun lagi selain mengekalkan Seberang Takir," katanya.

Hampir 10,000 ahli UMNO serta pemimpin setempat hadir memenuhi tapak perasmian bagi memeriahkan majlis tersebut.

Dalam majlis yang sama, 5,000 cermin mata percuma diagihkan hasil sumbangan oleh Puteri UMNO Malaysia.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: