Friday, 16 February 2018

Bayi Lahir Tanpa Saluran Makanan Dapat Perhatian Ahli Parlimen

SHARE
Jailani menyampaikan cek sumbangan Bakti kepada Azmi di rumahnya di Taman Ajil Perdana baru-baru ini.


Hulu Terengganu: Umar Al Rasyidin Mohd Azmi, sembilan bulan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada tiub yang ditebuk pada perut untuk minum susu kerana saluran makanannya tidak bersambung ketika lahir (Tracheo-Esophageal Fisrula Type c).

Si kecil yang kelihatan aktif juga menghadapi masalah saluran pernafasan (Chronic lung disease) sejak lahir dan terbaharu  masalah bengkak buah pinggang yang berjaya dikesan oleh doktor pakar yang merawatnya.

Siti Nur Fatimah Abd Ghani ,36, seorang suri rumah sepenuh masa berkata adakalanya sedih melihat keadaan anaknya itu namun tidak mempunyai pilihan lain.

"Sebagai ibu....siapa yang tidak sedih melihat keadaan anak yang terpaksa memakai tiub sepanjang masa di perut tapi memang keperluan Umar untuk bantu dia minum susu dan ubat-ubatannya.

"Susu pun pakai susu khas RM500 hingga RM600 sebulan termasuk sebuah mesin oksigen yang dibeli untuk menyedut kahak membolehkan dia bernafas dengan baik,” katanya lagi kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Ajil Perdana, semalam.

Suaminya, Mohd Azmi Mohd Ghani 36, yang bekerja sebagai pembantu makmal Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman, Ajil berkata anak bungsu dari empat beradik itu telah melakukan dua kali pembedahan sejak tahun lepas untuk menyambung saluran makanannya.

"Kos pembedahan yang lepas menggunakan surat jaminan (GL) jadi memang kuranglah sikit beban kami suami isteri...kalau kerajaan tak bantu tentu kami terpaksa mencari kewangan lain, gaji saya cuma RM 1,400 je, tak cukup dan memang kami berterima kasih sangat kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi bantuan.

"Untuk kos suntikan vaksin yang melibatkan empat kali sebanyak RM18,000 pula saya ada memohon dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantu dan sehingga sekarang dalam proses menunggu jawapan..harap tiada masalah pasal permohonan ini," katanya lagi.

Sementara itu,Ahli Parlimen Hulu Terengganu,  Dato' Seri Jailani Johari berkata, pihaknya akan melihat apakah keperluan serta bantuan  yang boleh diberikan kepada Umar bagi meringankan beban ibu bapanya.

"Kita lihat dan kaji, mungkin kita akan bantu dalam percepatkan surat kelulusan daripada JPA dan ini saya akan berurusan dengan pihak yang berkaitan, " ujarnya.

Jailani berkata demikian ketika menyampaikan cek sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI)  bernilai RM2,000 kepada keluarga berkenaan sempena program ziarah kasih Ahli Parlimen.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: