Thursday, 1 February 2018

Bas Amfibia Menuju Ke Terengganu

SHARE


Akhirnya Bas Amfibia atau bas dua alam sampai dengan selamat di Malaysia dan difahamkan kini berada di Pelabuhan Klang.

Bas yang menjadi antara modal politik  pembangkang, perlu melalui beberapa proses pemeriksaan teknikal oleh beberapa agensi berkaitan termasuk Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya sebelum dibawa ke Terengganu dan bakal ditempatkan di Taman Tamadun Islam Terengganu.

Menurut pihak Jabatan kerja raya (JKR) Terengganu, bas amfibia itu juga perlu diperiksa dengan teliti agar mematuhi spesifikasi dan ciri-ciri yang dijanjikan oleh pembekal serta mengutamakan keselamatan pengguna.


Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Khairul Azlan Mohd Yusof berkata, dalam masa terdekat, bas akan dibawa ke Terengganu dan akan singgah beberapa pusat tumpuan di daerah yang bakal ditentukan oleh jabatannya .

“Ianya akan bermula dari Daerah Kemaman sehingga ke Besut  dan akhirnya bas akan dipamerkan bagi tontonan umum di  Ekspo Terengganu 2018  bermula pada 25 Februari sehingga 3 Mac ini,"katanya.

Katanya, rakyat Terengganu pastinya sedang menantikan kemunculan bas unik itu yang akan menjadi satu tarikan baharu dalam industri pelancongan negeri.

Kenderaan buatan kilang di Malta itu mampu memuatkan seramai 45 penumpang dan dua pemandu dengan kelajuan maksimum lapan knot di dalam air, manakala di jalan raya, kelajuannya ialah 120 kilometer sejam.

Terengganu merupakan negeri pertama yang memperkenalkan bas dua alam itu.

Difahamkan, kerajaan negeri sedang membuat persiapan untuk majlis penyerahan Bas Amfibia berkenaan dalam masa terdekat serta sidang media mengenai kenderaan itu juga akan diadakan sebaik bas itu tiba di Terengganu nanti.

-Terengganu.news
SHARE

Author: verified_user

0 komen: