Thursday, 22 February 2018

Bas Amfibia Jadi Bahan Fitnah

SHARE

Ahmad Razif bersama wakil panel penasihat klinik kesihatan yang menerima bantuan kewangan untuk jabatan. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 

Bas amfibia (Amphicoach) yang diterima kerajaan negeri dua hari lalu menjadi sasaran  fitnah segelintir individu di laman media sosial yang menyatakan kenderaan itu rosak.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau cukup kesal dengan dakwaan itu sedangkan video yang ditular seakan bas tersekat ketika mahu naik ke daratan  itu adalah prosedur biasa yang perlu dilalui kerana mahu memeriksa enjin.


"Perkara sebegini tak bagus untuk industri pelancongan sedangkan apa yang kita buat, adalah untuk kepentingan rakyat," katanya.

Beliau  berkata demikian kepada  media selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu dan Timbalan Menteri Kesihatan Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Terengganu di Duyong Marina, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dato’ Dr Azman Abu Bakar yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Mohammad Omar.

Ahmad Razif berkata, walaupun pembelian bas amfibia menelan belanja tinggi, ia mampu merancakkan industri pelancongan.

"Walaupun harga kenderaan ini mahal, rakyat kena faham industri pelancongan adalah aktiviti berganda yang mana setiap ringgit kita keluarkan, kita akan dapat pulangan tiga ringgit yang akhirnya akan dapat kepada rakyat juga.


"Kenderaan ini hanya ada 13 buah saja di seluruh dunia dan kita negara kedua di Asia serta pertama di Asia Tenggara memilikinya, ditambah tarikan 'drawbridge' (jambatan angkat) nanti, berebut orang datang dan berbelanja di sini," katanya.

Beliau berkata, bas jenis 'amphicoach' berharga RM3 juta itu akan mula beropersi di sekitar bandar raya ini  selepas melalui beberapa prosedur yang ditetapkan  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

“Pada masa sama memilih  pemandu berpegalaman  yang boleh mengendalikan kenderaan dua alam itu.

"Kita nak perkasakan aktiviti pelancongan di Kuala Terengganu dan kerana itu bas ini akan beroperasi di daerah ini di laluan yang sudah disediakan termasuk menyusuri Sungai Terengganu," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: