Wednesday, 14 February 2018

Bank Islam Perkenal Kad Bank Terengganu FC

SHARE
Pemain Terengganu FC menunjukkan Kad Bank Debit-i Visa Terengganu FC yang mula diperkenalkan oleh Bank Islam bermula hari ini. Foto oleh Mohd Syazni Zainudin.

Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC dalam usahanya menyokong sukan bola sepak negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata tujuan kad tersebut diperkenalkan adalah bagi menyemarakkan lagi sokongan peminat bola sepak Terengganu terhadap pasukan-pasukan negeri.

Katanya, melalui penjenamaan bersama dengan pasukan-pasukan bola sepak kebangsaan serta negeri sepanjang 2016 dan 2017, Bank Islam telah berjaya mengagihkan insentif berjumlah lebih RM9 juta kepada pasukan yang terlibat.

"Dengan setiap kad yang dikeluarkan dan diperbaharui, Bank Islam akan menyalurkan sumbangan RM2.00 kepada Terengganu FC untuk membantu meningkatkan lagi sukan bola sepak yang akan melahirkan pemain 'superstar' dan membawa nama Terengganu ke tahap lebih tinggi.

"Setakat ini, jumlah kad Debit-i Bank Islam Visa telah mencecah 3.3 juta dan angka ini akan terus meningkat lebih-lebih lagi dengan pelancaran kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC, pada hari ini" katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC 'Peteh Terengganu Peteh' di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Tambahnya, pihak Bank Islam mensasarkan 50,000 Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC akan dikeluarkan sepanjang tahun ini.

Terengganu FC merupakan kerjasama ketujuh dilakukan oleh Bank Islam. Sebelum itu, pihaknya telah melakukan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelantan Football Association (KAFA), Pahang Football Association (PFA) , Kedah Football Association (KFA), Selangor Football Association  (FAS) dan Melaka United Soccer (MUSA).

Sementara itu, Wan Nawawi berkata inisiatif yang diambil oleh Bank Islam adalah satu perkara yang amat baik dalam membantu persatuan-persatuan bola sepak negeri di Malaysia.

Katanya, dengan adanya kad tersebut ianya boleh menjadi salah satu cara promosi kepada Terengganu FC dengan terteranya logo pasukan serta tertulis 'tagline' Peteh Terengganu Peteh.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: