Friday, 9 February 2018

Ahmad Razif Seru NGO Berjihad

SHARE
Ahmad Razif ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama NGO Perantau Lembah Klang di Kuala Lumpur, malam tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyeru kepada semua termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk berjihad melawan fitnah yang semakin berleluasa.

Katanya, jihad yang dimaksudkan adalah dengan memesan kepada mereka yang sering melakukan fitnah supaya menghentikannya.

Ahmad Razif berkata, selain daripada berpesan, fitnah juga perlu dilawan melalui memberikan fakta yang betul.

"Kerana itulah saya ingin mengajak semua sekali termasuk NGO-NGO kita untuk berjihad. Jihad sekarang bukan angkat senapang, parang atau pedang tetapi jihad sekarang adalah dengan jari melalui telefon yang ada di tangan kita.  Kita kena jelaskan.

"Yang penting hari ini kita kena buat perkara yang betul kerana kita sudah berada di atas landasan dan tidak perlu takut walaupun saya tengok banyak serangan demi serangan dilakukan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama NGO Perantau Lembah Klang di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato' Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pemangku Presiden Persatuan Anak Terengganu Di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Sham Aziz Ismail.

Dalam majlis tersebut lebih 200 wakil daripada 15 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu melibatkan diri.

Setiap NGO turut menerima RM10,000 bagi menguruskan kelab dan persatuan mereka selain mengadakan program-program untuk anak Terengganu di perantau.

Tambah Ahmad Razif, sebagai orang yang berjihad kini, kita perlu memberikan kebenaran kerana hanya kerajaan Barisan Nasional sahaja yang menjaga kebajikan rakyat jika dibandingkan pihak lain.

"Mereka (pembangkang) boleh fitnah. Apabila masuk ke mahkamah, jawapan yang diberikan adalah bergurau.

"Hanya tuhan sahaja yang tahu keadaan mangsa fitnah tersebut. Betapa seksanya mereka, keluarga serta keturunan. Semua orang bercakap. Anak serta keluarga disisihkan adalah kerana fitnah," katanya.

SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: