Tuesday, 27 February 2018

Agensi Kerajaan Diseru Martabatkan Budaya Hidup Berteraskan Al-Quran.

SHARE

Kerajaan negeri menyeru mana-mana agensi yang mempunyai keupayaan dan kepakaran agar sama-sama memainkan peranan mengatur program yang boleh memartabatkan budaya hidup berteraskan Al-Quran.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail berkata pentadbiran negeri bersedia untuk melihat dan memberi perhatian terhadap cadangan-cadangan tersebut termasuklah menimbang keperluan peruntukan yang munasabah jika perlu.

"Pihak pentadbiran akan terus memberi keutamaan dan perhatian serius dalam memastikan program-program yang bertujuan meningkatkan ketinggian syiar Islam.

"Sebagai contohnya majlis-majlis hafazan, sambutan awal Muharram, sambutan Maulidur Rasul dan lain-lain lagi telahpun ditetapkan dalam kalendar pentadbiran negeri sebagai agenda tetap dan rasmi bagi kerajaan negeri," katanya ketika berucap alu-aluan di Majlis pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Tahun 1439H/2018M di Dataran Waterfront Kuala Berang.

Wan Nawawi yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri berkata pentadbiran negeri telahpun menyemak keperluan penganjuran majlis ini dalam semua aspek agar perjalanan kedua-dua majlis ini  mencapai matlamatnya.

"Pada tahun ini peruntukan bagi
menjayakan Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran telah dinaikkan kepada RM900,000 berbanding dengan tahun sebelumnya sebanyak RM680,000.

"Keprihatinan pentadbiran negeri kepada qari dan qariah tidak terhenti apabila berakhirnya penganjuran Majlis Tilawah pada setiap tahun.

"Dalam usaha menghargai jasa dan sumbangan qari dan qariah yang telah menjadi johan peringkat kebangsaan, satu skim telah diperkenalkan sejak beberapa tahun yang lalu berupa saguhati bulanan sebanyak RM500.00 sebulan setiap orang,"katanya lagi.

Menurut Wan Nawawi, pemberian ini merupakan satu bentuk penghargaan sepanjang hayat dan diharap akan menjadi dorongan kepada qari dan qariah lain supaya mereka lebih bersemangat menempah kecemerlangan di peringkat kebangsaan seterusnya ke peringkat antarabangsa.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: