Wednesday, 10 January 2018

UniSZA Jalin Kerjasama Dengan 10 Universiti Di Jordan

SHARE



Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin  kerjasama dengan 10 buah universiti di Jordan melalui majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Education Malaysia Jordan, Amman, Jordan, hari ini.

Antara universiti yang terlibat dengan MoU tersebut adalah Jordan University of Science and Technology, Philadelphia University, Yarmouk University, Al-Zaytoonah University, Al-Ahliyya Amman University, Zarqa University, Amman Arab University, Isra University, Jadara University dan Irbid National University.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, kerjasama itu diadakan bertujuan untuk mempromosikan UniSZA khususnya bagi program di peringkat pasca ijazah iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah kepada calon-calon pelajar dari Jordan.

“Kita juga akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan antara universiti serta mengadakan  pertukaran pelajar dan staf agar dapat dimanfaatkan bersama.

“Saya harap dengan kerjasama ini, hubungan antara UniSZA dengan universiti di Jordan akan bertambah erat serta melancarkan proses kemasukan pelajar dari Jordan selepas ini”, katanya.

Sementara itu, Ahmad Zubaidi turut memaklumkan jumlah pelajar siswazah di UniSZA  sehingga kini berjumlah 1,955 orang termasuk 599 orang pelajar antarabangsa

“Dari jumlah itu, seramai 209 pelajar antarabangsa adalah dari Jordan yang terdiri daripada 57 pelajar peringkat sarjana dan 152 pelajar peringkat PhD.

“Peluang pengajian di peringkat PhD di Jordan agak terbatas oleh kerana limitasi program PhD yang ditawarkan oleh universiti di sana dan ini adalah satu peluang yang besar kepada UniSZA bagi menawarkan tempat kepada pensyarah serta pelajar lepasan universiti di Jordan untuk menyambung pengajian PhD di UniSZA”, katanya.


Katanya lagi, tukaran mata wang yang tinggi Dinar Jordan kepada Ringgit Malaysia (RM) juga akan menjadi daya tarikan kepada bakal pelajar dari Jordan untuk belajar di UniSZA.

“Program penyelidikan universiti di Jordan yang terfokus dengan teras yang jelas telah membolehkan mereka merancang dan melaksana penyelidikan dengan lebih berkesan.

“Kita akan mengambil peluang ini untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang yang berkaitan bagi memantapkan lagi aktiviti penyelidikan mengikut bidang kepakaran yang telah dikenal pasti berdaya maju,'' katanya.

Tambahnya lagi, jalinan hubungan dengan banyak universiti ternama di seluruh dunia akan membolehkan pelajar dan pensyarah UniSZA menjelajah dunia dalam usaha meningkatkan kecemerlangan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: