Friday, 12 January 2018

THT Tewas, KLHC Julang Piala Sumbangsih

SHARE
Pemain yang mewakili THT dalam misi merampas Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi kecewa apabila gagal merebut Piala Sumbangsih dari Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) buat kali ketiga berturut selepas tewas 4-5 menerusi penalti 'shoot out' dalam perlawanan merebut piala tersebut di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi.

Pengendali pasukan tersebut, Sarjit Singh a/l Kundan Singh berkata pemain THT bermain sangat baik dalam permainan tersebut terutamanya bermula pada separuh masa kedua.

"Kita bermain sangat baik, kecuali kesilapan kita menyebabkan (KLHC) dapat gol kedua. Perkara baiknya, kita bangkit dari ketinggalan 0-2,  kepada 2-2 dan itu sangat baik untuk pasukan.


"Sekarang kita perlu fokus kepada liga. Ia sangat penting kerana kita mahukan memegang kembali gelaran juara liga kerana tahun lepas kita tewas kepada mereka dalam 9 saat terakhir," katanya selepas tamat perlawanan.

Perlawanan tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat.

Sebelum tewas menerusi pukulan penalti 'shoot out', THT dan KLHC seri 2-2.

Gol pembukaan dijaringkan oleh pasukan pelawat menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Jang Jonghyun pada minit ke-16.

Pada minit ke-24, tuan rumah sekali lagi dikejutkan apabila Muhammad Hafizuddin Zaidi berjaya mengukuhkan kedudukan KLHC menerusi gol padang.


Walaupun banyak peluang yang diperoleh oleh skuad kendalian Sarjit, namun kebuntuan tersebut diakhiri pada minit ke-44 menerusi pukulan sudut penalti yang di sempurnakan dengan kemas oleh Faizal Saari untuk kedudukan 1-2.

Dua minit sebelum tamat perlawanan, THT berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti ‘stroke’ yang disempurnakan dengan kemas oleh pemain dari Argentina, Gonzalo Peillat sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan penalti ‘shoot out’.

Dalam perlawanan tersebut juga, Mohd Fitri Saari dari THT telah dinobatkan sebagai pemain terbaik.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: