Saturday, 20 January 2018

Terengganu Tawar Aktiviti Menarik Sepanjang 2018

SHARE

Pelbagai aktiviti menarik di Terengganu bakal disajikan kepada pelancong pada setiap bulan pada sepanjang tahun bagi merancakkan industri pelancongan di negeri itu.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak berkata, rata-rata pelancong mengenali Terengganu melalui produk pelancongan berkaitan pantai dan pulau-pulau.

Katanya, selain terkenal dengan kecantikan pulaunya, kerajaan negeri kini cuba mengalihkan persepsi orang ramai bahawa negeri itu juga memiliki banyak tempat menarik dengan tawaran aktiviti memikat pelancong.

"Antara aktiviti bakal berlangsung pada tahun ini adalah Sounds of Terengganu, Pesta Air Terengganu, Setiu Wetlands Festival, Terengganu Bike Week, Duyong Art Festival, Karnival Makanan Terengganu, Mazu Festival, Pesta Pantai Terengganu, Festival Kenyir, Pesta Tanglung Peranakan, Moments of Unity dan macam-macam lagi," katanya.

Beliau ditemui ketika ditemui di Festival Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata JPNT kini turut melakukan kerjasama dengan hotel-hotel di negeri itu bagi memudahkan urusan berkaitan aktiviti mencandat sotong yang bakal tiba musimnya.

Katanya, mereka yang berhasrat menyertai aktiviti itu boleh mula membuat tempahan yang dibuka sehingga Mac ini.

"Pesta mencandat sotong akan bermula bulan April sehingga Oktober. Mereka yang berminat, boleh membuat tempahan sekarang dan pakej berkenaan berserta dengan kenderaan bagi memudahkan pergerakan ke lokasi," katanya.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: