Monday, 8 January 2018

Terengganu Sedia Timbang Permohonan Tukar Kod Kad Pengenalan

SHARE

Kerajaan negeri sedia menimbang permohonan penduduk negeri ini yang memegang status rakyat negeri lain untuk menukar kod 11 dalam Mykad jika pemohon memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato' Muhammad Pehimi Yusof berkata, perkara itu sudah lama dikuatkuasa tetapi ramai yang tidak tahu untuk mendapatkan status sebagai penduduk  Terengganu.

Katanya, isu berkenaan timbul berikutan ramai ibu yang bersalin dari Besut dirujuk di Hospital Universiti Sains (HUSM) dan Hospital Sultanah Zainab (HSZ), Kota Bharu Kelatan dan anak dilahirkan itu didaftarkan dengan kod Negeri Kelantan (03) berdasarkan negeri  kelahiran.

Beliau berkata, berikutan isu itu ramai anak kelahiran negeri ini yang mempunyai kod 03 menghadapi masalah untuk mendapatkan pelbagai bantuan kerajaan negeri termasuk tanah.

Muhammad Pehimi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan status kerakyatan Terengganu perlu mengisi borang yang boleh didapati di semua pejabat daerah negeri ini.

"Bagaimanapun, pemohon perlu mendapat sokongan dan pengesahan dari Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) setempat dan wakil rakyat,” katanya selepas menyampaikan bantuan tabung kronik kepada penerima di DUN Jertih, Besut, hari ini.


Pada majlis itu, 22 pesakit kronik yang mendapat bantuan berkenaan menerima cek dan peralatan termasuk susu serta lampin pakai buang.

Katanya, kerajaan sedar ramai rakyat negeri ini yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri berpunca daripada Mykad yang tidak  berkod 11 walaupun mereka sebenarnya rakyat negeri ini.

Beliau berkata, selepas melalui beberapa proses pemohon terbabit akan diperakukan oleh Sultan Terengganu untuk mendapatkan status berkenaan.

Muhammad Pehimi berkata, pihak berkuasa mengadakan dua kali mesyuarat dalam tempoh setahun untuk meluluskan permohonan yang dibuat oleh pemohon sebelum dipertimbangankan oleh Sultan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: