Thursday, 4 January 2018

Satu Lif HSNZ Siap Diganti Baharu

SHARE
Lif nombor 5 di HSNZ siap dinaik taraf sepenuhnya.

Kerja menggantikan satu lif Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi fasa pertama siap sepenuhnya hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Ir. Che Kamaruddin Bahar berkata, lif nombor 5 itu diserahkan secara rasmi kepada pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus sebelum digunakan orang ramai.

Katanya, untuk lif nombor 4 pula, peralatan 'car locking device' tingkat satu tiba di Terengganu dan dipasang hari ini.

"Pengujian semula lif nombor 4 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu (JKKP) akan dijalankan pada 7 Januari ini bagi memastikan keselamatan lif terjamin.

"Justeru itu, lif nombor 4 dijangka akan diserahkan pada 8 Januari ini kepada pihak HSNZ selaras dengan kenyataan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman bahawa lif nombor 4 dan 5 akan diserahkan selewat-lewatnya pada 12 Januari ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.


Tambahnya, bagi fasa kedua pula ianya akan melibatkan dua lif lagi iaitu masing-masing lif nombor 2 dan nombor 3.

"Pada 9 Januari ini, fasa kedua bagi dua lif akan dimulakan dan dijangka siap menjelang Mac 2018," katanya.

Che Kamaruddin berkata, JKR Terengganu sangat komited dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan diharap kemudahan tersebut dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini, Ahmad Razif melakukan lawatan di HSNZ bagi meninjau sendiri kemudahan lif di premis kesihatan itu.

Empat lif awam di tingkat bawah blok utama HSNZ yang berusia antara 17 hingga 20 tahun diganti dengan kos lebih RM1.6 juta di bawah peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*27 december 1988
*Kuala Terengganu
*UiTM Malacca
*Diploma in Mass Communication
*UiTM Shah Alam
*Degree in Journalism
*syaz_zain@yahoo.com

0 komen: