Saturday, 6 January 2018

Pusat Perubatan DUN Manir Belanja RM10 Ribu Sebulan Tawar Khidmat Untuk Rakyat

SHARE
Yusof turut memantau keadaan di pusat rawatan beliau yang menawarkan pemeriksaan dan ubatan percuma. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kecaknaan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam menyediakan pusat rawatan kesihatan mampu menjaga kebajikan dan memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Pusat Perubatan Komuniti Percuma DUN Manir yang beroperasi sejak 2008 dibangunkan sendiri oleh beliau serta rakan yang juga seorang doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Rushdan Ismail.

Yusof berkata, sejak  dibuka hampir 10 tahun lalu, pihaknya telah membelanjakan hampir RM1.2 juta bagi membiayai bekalan ubat kepada pesakit yang mempunyai masalah kesihatan.

Katanya, sambutan yang diberikan oleh masyarakat setempat terhadap kemudahan tersebut amat memberangsangkan.

"Setakat hari ini walaupun hanya  dibuka setiap dua minggu sekali, sambutannya boleh dikatakan menggalakkan. Lebih 100 pesakit kebiasaannya hadir dalam setiap sesi rawatan percuma ini dijalankan.

"Bagi setiap sesi, hampir RM5,000 diperuntukkan. Dalam sebulan kita adakan dua sesi iaitu pada hari Sabtu bergantung kepada kelapangan doktor yang bertugas," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Program Ziarah Kasih Pok Usop Cakna bersama Pakar dan Pegawai Perubatan di Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Nerus, hari ini.


Tambahnya, selain dari rawatan percuma yang dijalankan, pihaknya juga turut menziarahi penduduk setempat yang mengalami masalah kesihatan serta keuzuran untuk bergerak.

"Setiap dua minggu juga, kami akan turun ke kampung-kampung bersama doktor untuk ziarah penduduk yang uzur dan perlu rawatan.

"Ziarah yang dilakukan bersama doktor pakar ini pergi ke rumah penduduk yang perlu mendapatkan rawatan tidak mengira sama ada mereka menyokong ataupun tidak Kerajaan Barisan Nasional.

"Selain itu, pihak kami turut menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung seperti barangan keperluan dapur," katanya.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: