Sunday, 7 January 2018

PPKM Ampang A juara Piala Presiden Sepak Takraw Terengganu 2018

SHARE
Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) Terbuka Terengganu 2018. - Foto  Mohamad Firdaus Musa
Pasukan sepak takraw PPKM Ampang A muncul juara Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) Terbuka Terengganu 2018 selepas lawan mereka di final Gastep B menarik diri akibat kecederaan pemain dalam kejohanan yang diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu, semalam.

Kemenangan PPKM itu diraih ketika kedudukan semasa 9-8 apabila tekong Gastep Zulkifli Abdul Razak atau 'Sobey' mengalami kecederaan sehingga memaksa pasukan menarik diri akibat ketiadaan pemain simpanan.

PPKM Ampang A membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi kejohanan manakala Gastep B menerima RM3,000 beserta trofi yang disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ibni Amin Busu yang turut dihadiri oleh Presiden PSNT Mohd Shapian Ali.

Bagi jurulatih PPKM Ampang A Aswadi Abdullah melahirkan rasa syukur dan mengakui saingan kali ini sangat sengit dengan penyertaan pasukan lain.

"Sasaran kami hanya separuh akhir kerana ramai pemain mempunyai komitmen lain dan kami hanya sempat mengumpulkan pemain pada saat akhir dan kami amat bersyukur juara,'' katanya selepas perlawanan.

Pengurus pasukan Gastep B Tuan Azman Tuan Alias mengakui pasukannya terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara kejohanan.

"Walaupun sedih dengan keputusan yang kami lalui kami tetap bersyukur dengan naib juara ini.
Pemain kami terpaksa bermain tie-break pada perlawanan peringkat ketiga suku separuh akhir jadi pemain terpaksa mengerah tenaga yang banyak bagi memenangi perlawanan itu.

"Dalam aksi final kami berbincang kami terpaksa menarik diri bagi mengelak kecederaan lebih teruk walaupun kami dilihat berpotensi menang kerana kami tidak membariskan pemain simpanan", katanya.

Gastep B turut dibarisi pemain kebangsaan Hanafiah Dollah dan Syafiq Rahman.

Sementara itu kategori Bakat Baru PSNT 2018 Tertutup Terengganu dimenangi oleh KHK Intemity B dari Kemaman yang menewaskan Kondo A (Hiliran) dengan 2-0.

KHK mendapat hadiah wang tunai RM1,000 dengan trofi dan Kondo meraih RM600 beserta trofi. -Terengganu.news

SHARE

Author: verified_user

0 komen: