Wednesday, 3 January 2018

Penjawat Awam Perlu Laksana Hasrat Kerajaan- Wan Nawawi

SHARE


Setiausaha Kerajaan Negeri menyerahkan dokumen pemotongan gaji kepada Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim untuk Tabung Darul Iman di Majlis Perhimpunan Bulanan di  Wisma Darul Iman Kuala Terengganu.  Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail mengajak jentera pentadbiran awam bersama-sama kepimpinan kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat memajukan Terengganu tanpa meminggirkan kebajikan rakyat.

Katanya, perkara itu kerap kali dipinta Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan turut dinyatakan dalam pembentangan Bajet Terengganu 2018 baru-baru ini.


“Manfaat yang turut diterima penjawat awam dalam pembentangan itu cukup besar nilainya dan cukup wajar menjadikan apa yang diterima itu sebagai pendorong untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam sebaik mungkin.

“Tidak perlu berkira dalam melaksanakan tugas, baiki setiap kelemahan yang ada, tanam sikap mahu memajukan diri dan perlu ada sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan. 

"Marilah kita bersama-sama memulakan perkara itu sempena tahun baru ini, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Rahman Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Rosman Roslan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Zainal Abidin Hussin.


Beliau turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bulanan kepada kakitangan WDI untuk November hingga Januari .

Wan Nawawi turut mengingatkan penjawat awam agar komited dengan tugas yang diamanahkan.

“Komitmen yang jitu adalah perlu bagi memastikan apa yang diperkenalkan kerajaan diterima rakyat.

“’Sebagai pelaksana kepada dasar dan polisi dibuat kerajaan, penjawat awam seharusnya memahami terlebih dahulu apa perlu disampaikan kepada rakyat,”katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: