Monday, 8 January 2018

PBT Diminta Tidak Berkompromi Dengan Pemaju

SHARE

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diingatkan agar tidak berkompromi dengan mana-mana pemaju perumahan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan sehingga mengakibatkan banjir apabila hujan lebat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perkara itu perlu dipandang serius bagi memastikan tidak lagi timbul masalah sistem perparitan yang kerap berlaku hingga mengakibatkan limpahan air di kawasan perumahan ketika ini.

Ahmad Razif berkata, kebanyakan masalah banjir di negeri ini berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna berikutan projek yang dibangunkan tidak mematuhi syarat dan undang-undang.

"Kajian meliputi perancangan bandar, sistem perparitan dan sebagainya dilaksanakan PBT sebelum memulakan projek pembangunan.

"Bagaimanapun masalah timbul apabila ada dalam kalangan pemaju yang terlibat tidak mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan hingga mengakibatkan berlaku masalah,"katanya pada satu program baru-baru ini.

Katanya, sebagai contoh pemaju tidak menambun tanah mengikut ketinggian yang ditetapkan bagi projek perumahan di kawasan rendah hingga berlakunya banjir.

"Jadi saya minta PBT memandang serius perkara ini dan tidak berkompromi dengan mana-mana pemaju yang melanggar syarat berkenaan.

"Masalah banjir yang berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna itu bukan sahaja mengakibatkan pemilik kediaman sentiasa berada dalam keresahan tetapi juga terpaksa menanggung kerugian harta benda,"katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: