Friday, 19 January 2018

Masalah Hakisan Di Sungai Berua Akan Diatasi Segera

SHARE
Keadaan hakisan di tebing Sungai Berua


Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan tebing sungai yang kian serius di perkampungan masyarakat Orang Asli Sungai Berua.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Dato' Rozi Mamat berkata, perkara ini dalam pengetahuannya serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Saya akui hakisan ini bertambah serius terutama ketika musim tengkujuh dan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini..saya akan semak balik dengan jabatan berkenaan sama ada sudah ada peruntukan atau sebaliknya bagi kerja-kerja baik pulih.

"Yang pasti, kerja-kerja ini akan ambil masa, jika nak buat sekarang..cuaca tidak sesuai sebab musim tengkujuh belum berakhir,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Graduasi Pengajian Tahsin Al Quran Hulu Terengganu (PETAH) Kali Ke-2 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Rozi berkata, Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian kepada komuniti Orang Asli ini dalam pelbagai aspek.

"Sama juga berkaitan masalah hakisan tebing sungai dihadapi mereka sekarang ini, tentu kita akan atasinya, cuma ambil sedikit masa," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Sungai Berua, Alias Pelong berkata, pihaknya merasa bimbang hakisan tersebut  turut melibatkan rumah penduduk serta kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Berua terutama padang bola jika pihak terbabit lambat bertindak.

"Dah lebih tiga tahun hakisan ini tapi belum serius macam sekarang akibat arus sungai deras semasa banjir baru-baru ini.

"Sekarang ini jalan tersebut tidak dapat dilalui akibat runtuh kerana hakisan yang berlaku dan pihak kami bimbang ianya akan lebih teruk lagi tiada tindakan diambil bagi atasi masalah ini secepat mungkin.

Alias berkata, walaupun bukan jalan utama namun ianya masih membahayakan keselamatan awam terutama kanak-kanak.

"Saya dah buat aduan dan berharap ada tindakan secepat mungkin dari pihak berkenaan...mungkin belum ada peruntukan tapi janganlah terlalu ambil masa, takut makin serius,"katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: