Wednesday, 3 January 2018

Lif HSNZ Akan Diganti Baharu

SHARE


Lif HSNZ akan diganti baharu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail


Masalah kerosakan lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak lebih 15 tahun lalu sehingga menjadi viral di laman sosial baru-baru ini, dijangka selesai sepenuhnya Mac ini, selepas empat lif di blok utama hospital itu diganti baharu.

Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, empat lif awam di tingkat bawah blok utama HSNZ yang berusia antara 17 hingga 20 tahun diganti dengan kos lebih RM1.6 juta di bawah peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). 

Beliau berkata, untuk fasa pertama, proses naik taraf dua lif awam berkenaan dijangka selesai 10 Januari ini, manakala dua lagi akan selesai diganti sepenuhnya Mac depan.

"Kita akui menerima rungutan daripada orang ramai khususnya pelawat di hospital ini mengenai masalah lif awam sehingga ia menjadi viral di laman sosial. 

"Sebelum ini kita mengeluarkan kos yang tinggi untuk penyelenggaraan lif ini dari tahun ke tahun dan sudah tiba masanya ia ditukar kerana usia lif ini antara 17 hingga 31 tahun. Keupayaan perkhidmatannya tidak lagi sebaik dahulu.

"Justeru, langkah penggantian lif ini akan menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak belasan tahun, sekali gus menaiktaraf mutu perkhidmatan kepada pelawat HSNZ," katanya selepas majlis taklimat pemasangan lif di HSNZ , Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Ir Che Kamaruddin Bahar.

Ahmad Razif berkata, lima lagi lif di hospital itu akan turut diganti membabitkan lif diraja, lif barang dan lif kakitangan dan ia dijangka selesai sepenuhnya akhir tahun ini.

Beliau berkata, bagi melancarkan kerja naik taraf lif berkenaan, HSNZ mengubah waktu lawatan pesakit mulai esok hingga 15 Januari ini, iaitu bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, berbanding 12 tengah hari hingga jam 2 petang ketika ini.

"Ini bagi memberi keutamaan laluan kegunaan lif yang terhad untuk penghantaran makanan pesakit, ubat, sisa klinikal dan sampah dari wad serta mengelak pertembungan pelawat dengan kakitangan yang bertukar syif pada waktu puncak itu.

"Dianggarkan HSNZ menerima antara 3,000 hingga 4,000 pelawat pada setiap sesi melawat setiap hari dan perubahan jadual lawatan ini akan memudahkan urusan hospital sepanjang kerja penggantian lif dilakukan," katanya.

Masalah kerosakan lif yang sering berlaku di HSNZ memberi implikasi buruk terhadap perkhidmatan hospital itu seperti kelewatan penghantaran pesakit masuk ke wad dan kecemasan, sampel ujian pesakit ke makmal dan kelewatan kakitangan masuk bertugas- Berita Harian
SHARE

Author: verified_user

0 komen: