Wednesday, 31 January 2018

KTS Tawar Perkhidmatan Terbaik

SHARE
Hospital KTS menjanjikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan pengunjung. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang mula beroperasi di bangunan baru terletak di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sejak 28 Januari lalu menawarkan perkhidmatan terbaik selain menjanjikan keselesaan kepada pesakit dan pengunjung di situ.

Dengan harga bermula RM100 untuk satu malam, hospital tersebut menawarkan perkhidmatan yang dijamin akan memberi kepuasan kepada setiap pesakit.

Pengurus Besar KTS, Abel Ahing berkata, hospital tersebut mula beroperasi sejak tahun 2006 dengan hanya lima katil dibuka kepada pesakit di KTS Jalan Kamarudin.

Katanya, pada 2010, ianya ditambah kepada 10 katil dan sebelum berpindah dari bangunan lama, sebanyak 30 katil disediakan kepada pesakit.


"Di bangunan baru ini, kita menyediakan 130 katil dan semua bilik di sini adalah persendirian dan tidak mengamalkan konsep perkongsian bilik bagi memberi keselesaan kepada pelanggan kita selain menjamin keselamatan mereka daripada terkena jangkitan daripada pesakit lain.

"Setakat hari ini, hari ketiga (semalam) sudah penuh 42 katil. Esok (hari ini) kita akan buka 14 katil lagi. Manakala pertengahan Februari ini, kita akan buka aras enam dimana menyediakan 30 katil lagi. Selepas itu ianya akan dibuka secara berperingkat mengikut permintaan," katanya kepada Teganukita.

Tambah Abel, KTS menawarkan ramai pakar bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada setiap pesakit.

Katanya, selain menyediakan pakar-pakar terbaik, teknologi yang digunakan di KTS juga adalah antara tercanggih dan terkini boleh didapati di Malaysia.

Abel Ahing

"Di sini, kita ada menyediakan pelbagai kepakaran seperti kepakaran penjagaan kanak-kanak, pediatrik, sakit puan, telinga, hidung dan tekak (ENT), mata, tulang dan sendi, fisioterapi, pergigian, kecantikan (aesthetics) dan pelbagai lagi.

"Servis-servis lain seperti radiologi, 'diagnostic imaging' contohnya 'CT Scan' di sini merupakan teknologi terbaru. 'CT Scan' yang ada di sini kita panggil '64 slice' yang mana antara terkini.

"Manakala, 'digital mammogram' yang kita gunakan juga merupakan antara teknologi terkini ditawarkan kepada rakyat Terengganu," katanya.

Dalam pada itu, Abel berkata selain daripada perkhidmatan yang ditawarkan, KTS akan dijadikan sebagai Pusat Rawatan Diabetes.


Tambahnya, buat masa sekarang, pihaknya telah menjalinkan kerjasama antara Universiti Sunway dan Univeristi Malaya dalam menjalankan kajian mengenai penyakit tersebut.

"Perkampungan di Kuala Nerus telah dipilih untuk dibuat kajian mengenai penyakit ini bemula tahun lalu dan akan berlangsung selama lima tahun.

"Melalui kajian ini kita akan lebih mengenali tentang penyakit ini selain memudahkan untuk kita tangani penyakit ini dikalangan penduduk di Terengganu kerana setiap kawasan mempunyai gaya hidup berlainan," katanya.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: