Wednesday, 17 January 2018

Isu Rumah RM20 Juta: Rakyat Boleh Nilai Sendiri - Ahmad Razif

SHARE

“Rakyat boleh menilai sendiri tuntutan tidak masuk akal Wan Mansor Wan Yusof, 57, apabila menuntut RM20 juta sebagai pampasan untuk merobohkan rumah yang masih didiaminya di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu.

“Berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian Terengganu tiada bukti yang menyatakan tanah itu hak milik Wan Mansor, sebaliknya  menunjukkan rumah yang didiami keluarga berkenaan  adalah di atas tanah milik kerajaan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keengganan Wan Mansor untuk berpindah selagi kerajaan tidak membayar pampasan sepertimana yang dituntut.

Ahmad Razif berkata, jika benar tanah itu milik beliau (Wan Mansor) atau keluarga seperti yang didakwa, pihaknya meminta dia membuktikan kebenarannya,  tetapi sehingga  kini tiada keputusan.

“Oleh itu, kita serah kepada rakyat Terengganu untuk menilai sendiri. Kita bersedia untuk membayar pampasan rumah dengan harga yang paling maksimum jika ada bukti.

“Kerajaan negeri sudah menyerahkan sepenuhnya perkara berbangkit itu kepada mahkamah, biar undang-undang yang membuat keputusan, orang ramai tidak wajar untuk memanjangkan isu itu, “ katanya

Dalam akhbar tempatan sebelum ini melaporkan rumah kayu dua tingkat berciri tradisional Melayu menjadi satu-satunya kediaman yang belum dirobohkan di kawasan yang sedang pesat membangun itu.

Kediaman itu menarik perhatian ramai selepas ia tular di media sosial dan media tempatan sehingga mencetuskan pelbagai persepsi masyarakat.

Tampil menjelaskan perkara itu, Wan Mansor mendakwa tanah dan rumah itu milik arwah ayahnya, Wan Yusof  Wan Abdul Kadir yang dibeli dari ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 7 Julai 1977.

Menurutnya, andaian banyak pihak termasuk melalui Facebook mengatakan keluarganya mempertahankan rumah berkenaan dari diroboh kerana mahu mengekalkan warisan adalah tidak betul.

Sebaliknya, beliau memberitahu, keluarganya tiada masalah untuk berkerjasama kepada pihak yang membangunkan kawasan berkenaan namun pemberian jumlah pampasan perlu lebih adil.

"Pihak pemaju sebelum ini, ada menampal notis pada dinding rumah dan mengarahkan supaya kosongkan tanah serta rumah dalam tempoh tiga minggu dan bayaran pampasan ditawarkan mereka hanya RM20,000.

“Bagi kami (jumlah tersebut) adalah sangatlah tidak berbaloi," katanya yang turut memaklumkan pihaknya telah menyerahkan isu tuntutan pampasan kepada mahkamah melalui peguam yang dilantik.
 .







SHARE

Author: verified_user

0 komen: