Monday, 1 January 2018

Idea Kreatif Mampu Tingkat Kualiti Pelancongan

SHARE

Ahmad Razif menyambut kedatangan pelancong asing- Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 

Pengusaha produk pelancongan digesa membantu kerajaan negeri menghasilkan idea-idea yang kreatif untuk meningkatkan kualiti pelancongan di negeri ini sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman,  berkata pihak itu  tidak seharusnya bergantung kepada produk sedia ada, sebaliknya perlu menumpukan pelbagai  lokasi sejarah, produk hiliran dan kebudayaan untuk diketengahkan kepada pengunjung terutama pelancong asing.

Katanya, setiap daerah di negeri ini ada keistimewaan tersendiri, sebagai contoh di kawasan Hulu Terengganu, sememangnya terkenal dengan  penemuan batu bersurat, pihak berkaitan perlu mengambil pendekatan mengilap apa yang ada itu.

“Pada masa sama mencari  idea baru yang pastinya boleh boleh menarik minat pelancong ke kawasan masing-masing.

“Jika di Rantau Abang, Dungun, sememangnya  terkenal dengan lokasi pendaratan penyu, memandangkan penyu semakin pupus, kerajaan bersedia mewujudkan replika penyu di kawasan tumpuan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kedatangan pelancong Sempena Sambutan Tahun Baharu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, hari ini.



Ahmad Razif turut memberitahu kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Rumah Haji Su di Kampung Losong sebagai Galeri Produk Tradisional Terengganu.

Katanya, rumah lama yang memperlihatkan keunikan seni bina warisan dan ketinggian seni pertukangan Melayu cukup sesuai bagi tujuan itu.

“Dengan adanya galeri tersebut pelancong dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai produk tradsional, termasuk barangan kraftangan, songket dan pelbagai produk makanan di samping mengunjungi rumah tersebut,’’ katanya.

Sebelum itu, Menteri Besar turut merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Kepada Pengusaha Beca dan Bot Penambang di lakosi sama,

Seramai 60 pengusaha beca dan 20 bot penambang hadir  menerima insentif tertunggak RM600 daripada kerajaan negeri.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: