Wednesday, 3 January 2018

Ibu Bapa Bukan Melayu Disaran Hantar Anak Ke Tabika Perpaduan

SHARE


Ibu bapa bukan Melayu diminta menghantar anak mereka belajar di Kelas Tabika Perpaduan kelolaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi menggalakkan semangat perpaduan kaum di kalangan rakyat negeri ini.

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan kaum bukan Melayu supaya menghantar anak mereka memasuki kelas Tabika Perpaduan yang ada di seluruh negeri ini.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tenaga pengajar di pusat pendidikan itu berkenaan mempunyai guru terlatih dan sebahagian besar mereka mempunyai ijazah dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, ketika ini ada 72 Kelas Tabika Pepaduan membabitkan 1,525 kanak-kanak sedang mengikuti kelas berkenaan di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 15 kanak-kanak dari keturunan Cina dan Siam belajar di Tabika Perpaduan Seberang Jertih, dekat sini.

“Jabatan berharap lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas Perpaduan kerana ia agak istimewa dengan mempunyai guru terlatih dalam pelbagai bahasa,” katanya ketika melawat Tabika Perpaduan Kuala Besut Selatan, hari ini.

Burhanudin berkata, jabatan mendapat maklum balas ibu bapa bukan Melayu yang menghantar anak mereka ke kelas berkenaan amat gembira dan berpuas hati kerana mereka mudah mempelajari Bahasa Melayu.



Selain itu, katanya, bagi kanak-kanak beragama Islam mereka juga turut diberi bimbingan agama ketika di kelas berkenaan.

Beliau berkata, kelas Tabika Perpaduan mempunyai rekod cemerlang kerana ramai guru dan pembantu guru mendapat latihan pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: