Saturday, 20 January 2018

Elak Kongsi Masalah Rumah Tangga Di Media Sosial

SHARE


Pengguna internet dinasihatkan melayari internet secara bijak dan bertanggungjawab dengan tidak menjadikan media sosial sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah peribadi termasuk berkongsi kisah rumah tangga.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, sekiranya tidak digunakan secara bertanggungjawab, tidak mustahil tindakan itu akan menimbulkan masalah termasuk menjadi faktor kepada keruntuhan rumah tangga.

"Kajian menunjukkan setiap hari netizen menghabiskan masa kira-kira empat jam di internet dan mungkin ada yang di luar sana sedang melihat untuk mengambil peluang sekiranya mereka ini tersilap memuat naik status.

"Sebab itu saya nasihatkan apa-apa masalah, sila rujuk pakar dan bukannya menjadikan media sosial sebagai tempat untuk menyelesaikannya termasuklah masalah keluarga yang mungkin timbul apabila orang berkongsi berita yang tidak ada kesahihannya.

"Kita banyak medium, jadi cari lah orang yang sesuai ataupun orang yang berautoriti untuk kita membicarakan masalah peribadi kita. Kita mesti periksa setiap masa, siapa yang berautoriti untuk memberi pandangan dan nasihat bagi menyelesaikan masalah kita," katanya.

Jailani berkata demikian kepada pemberita di Program NBOS-CTU Penyelenggaraan Rumah & Bantuan Insan Terpilih Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Terbuka Kampung Landas, Hulu Terengganu, hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa maklumat atau berita yang mereka perolehi melalui media sosial.

"Apa pun platform yang anda gunakan untuk mendapatkan maklumat, sama ada dalam talian atau luar talian, pastikan anda menyemaknya dengan pihak berkuasa dan tidak sewenangnya berkongsi dengan pihak ketiga," ujarnya lagi.

Jailani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd baru-baru yang menyatakan media sosial juga turut menjadi antara faktor yang menyebabkan perceraian.

Dalam kenyataan tersebut Wan Mohd Zakri berkata trend penggunaan aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook boleh mengundang kepada keraguan pasangan yang secara tidak langsung mendorong kepada perbuatan curang apabila perhubungan biasa bertukar menjadi perhubungan mesra.

Beliau mengakui adanya isu berkaitan terutama facebook dan whatsApp yang menyebabkan berlaku salah faham suami isteri sehingga membawa kes itu ke mahkamah seterusnya menyumbang kepada faktor yang membawa penceraian.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: