Saturday, 6 January 2018

Banjir: JPNT Perlu RM380,000 Baiki Kerosakan Sekolah

SHARE
Penerima anugerah bergambar kenangan

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah memohon peruntukan sebanyak RM380,000 daripada Kementerian Pendidikan bagi membaiki kerosakan sekolah yang berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussain berkata kerosakan yang berlaku antaranya melibatkan pagar sekolah yang runtuh akibat arus deras dan atap serta siling sekolah yang tercabut diterbangkan angin kencang.

"Sebanyak enam buah sekolah di beberapa daerah antaranya sekolah di Bukit Mentok, Kemaman dan sekolah di Padang Midin telah kita dapati berlaku pelbagai kerosakan antaranya atap yang diterbangkan angin, siling kelas runtuh dan pagar yang rosak.

"Kita telah pun memohon peruntukan tersebut kepada Kementerian Pendidikan dan kerja baik pulih kini sedang dijalankan dengan kebenaran (daripada kementerian)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Gala TTB Kemenjadian Murid Gen-T 2017 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Shafruddin berkata, pihaknya berjaya meminimumkan kerosakan yang melibatkan  kelengkapan sekolah kerana kakitangan sekolah telah memindahkan barangan tersebut ke tempat yang lebih tinggi dengan lebih awal.

"Sekolah yang biasa berdepan dengan banjir, kita sudah arahkan supaya membuat persediaan awal sebelum cuti sekolah bermula dengan mengikat perabot dan menempatkan barangan elektronik ke tempat tinggi," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: