Wednesday, 17 January 2018

Atlet Tenpin Boling Jadi Duta Kecil Pelancongan Terengganu

SHARE
Atlet tenpin boling yang bakal mewakili Terengganu dalam Sukma 2018 di Perak. Foto oleh Zulkifli CW Putra.

Atlet tenpin boling yang bakal mewakili Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dilantik sebagai duta kecil dalam mempromosikan Terengganu di negeri-negeri luar.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, mereka akan dibawa bersama ke luar negeri dalam program Jelajah Beautiful Terengganu (JBT).

Beliau yang juga bapa angkat kepada acara sukan tersebut berkata, dengan membawa atlet muda itu, ianya juga akan memberi semangat kepada mereka.


"Kita nak bawa mereka ke program-program jelajah ini dan mereka akan membantu mempromosikan Terengganu melalui program JBT. Jadi ini sebahagian daripada usaha untuk membina semangat atlet berdepan orang ramai.

"Mereka bukan sahaja menjadi seorang atlet tapi juga akan dijadikan duta kecil untuk mempromosikan Terengganu dan kita berharap ia akan membantu membina semangat atlet-atlet muda ini agar lebih bersedia untuk Sukma," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Persatuan Tenpin Boling Negeri Terengganu Bersama Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma XIX 2018 Perak di Coral Crown Bowl Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Sabri Abas dan Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu Wan Adnan Wan Derahman.

Tambah Tun Ahmad Faisal, siri jelajah tersebut akan bermula pada Februari ini di Melaka.

Dalam pada itu, Wan Adnan berkata, PMINT yang dilantik sebagai jabatan angkat kepada sukan tenpin boling akan memberikan insentif terbaik kepada atlet yang membawa kejayaan kepada Terengganu dalam Sukma.

"Kita akan berikan insentif dengan nilai yang cukup menarik kerana jika kita memenangi emas, ini merupakan emas pertama untuk sukan boling.

"Malah kita tahu, sebelum ini Terengganu memang tidak kuat dalam sukan boling, tetapi dengan adanya kelengkapan yang cukup lengkap di Coral Crown Bowl, mungkin pasukan mampu mencipta kejayaan," katanya.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: