Sunday, 31 December 2017

Wanita Lumpuh Harap Nasib Terbela

SHARE


Hampir lapan tahun saya terlantar, hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak dapat bertutur seperti dahulu sejak diserang strok dan lumpuh hampir seluruh badan, kata Faridah Othman ,49 dari Kampung Bukit Apit,Ajil.

Katanya, ketika diserang strok, dia sedang bercuti di Cameron Highlands dan jatuh pengsan ketika mandi pada  2009.

"Tengah gosok gigi, tiba-tiba pening dan mak cik jatuh pengsan dan bila sedar sudah berada di hospital, tak boleh bergerak.

"Lepas jalani pemeriksaan, doktor dapati ada darah beku dalam kepala dan buat pembedahan. Sekarang ni akibat pembedahan itu,mak cik dah tak ada tempurung kepala.

"Hanya tangan kiri je mampu gerak, payah nak ingat sesuatu tapi syukur lagi sebab masih mampu bercakap walaupun tidak jelas..yang lain seperti tugasan rumah, anak sulung mak cik yang banyak uruskan,"katanya.

Ibarat jatuh di timpa tangga, Faridah surirumah sepenuh masa yang masih memerlukan bantuan keluarga turut berdepan masalah apabila suaminya Dul Omar,52, juga ditimpa kemalangan pada 2005 yang mengakibatkan kehilangan tangan sebelum dia diserang strok.

"Masa tu suami tengah kerja kat kilang papan Bukit Diman, tiba-tiba kayu balak jatuh menimpanya menyebabkan tangan kanan terpaksa dipotong hingga ke siku.

"Namun pihak pengurusan kilang masih membenarkan suami bekerja dengan kerja yang sesuai mengikut keadaannya sekarang di kilang papan Wakaf Tapai dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

"Banyaknya dugaan yang terpaksa ditempuh oleh mak cik dengan keadaan sekarang... seorang anak masih lagi belajar di UniSZa dan yang bongsu baru sahaja bekerja sebagai bomba bantuan. Hanya yang sulung sudah bekerja tapi pendapatan pun tak seberapa untuk menanggung kami sekeluarga,"katanya.

Setiap bulan, Faridah memerlukan bantuan lampin pakai buang yang banyak dan mencecah RM600 sebulan serta kos berkenaan adalah di luar kemampuannya walaupun mendapat bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

"Ada mohon dua kali daripada Majlis Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) tetapi gagal dan puncanya mak cik tidak tahu termasuklah pemotongan bantuan JKM dari RM300 kepada RM200. Oleh sebab itu,mak cik rayu kepada pihak berkaitan untuk bantu ringankan beban kami sekeluarga,"ujarnya lagi.

Keperitan kisah hidup Faridah ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Ghazali Taib apabila menziarahinya di Kampung Bukit Apit hari ini sempena Program Ziarah Kasih DUN Ajil.

Ghazali berkata, pihaknya akan melihat apakah permasalahan yang sebenarnya berlaku dalam permohonan dengan Maidam.

"Kita akan berbincang dengan Maidam dan juga JKM apa yang boleh disalurkan untuk membantu dalam kes kali ini.

"Saya melihat ada yang boleh dilakukan untuk 8membantu walaupun bukan sepenuhnya dan ini akan kita pastikan bagi melihat kebajikannya terjaga,"katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: