Tuesday, 19 December 2017

Wahid Tidak Mahu Bertanding

SHARE

Mohd Abdul Wahid (kiri) berbual dengan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika persidangan DUN di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) PAS Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut tidak mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 1990 pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Abdul Wahid menyuarakan hasrat tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada PRU kepada pucuk pimpinan parti di peringkat negeri sebaik berakhirnya sidang DUN Khamis lalu.

Dia yang juga bekas EXCO kerajaan negeri dan diberi tanggungjawab sebagai portfolio Pembangunan Usahawan dan Belia pada 1991 hingga 2004 ketika PAS menerajui kerajaan, akan menyatakan hasrat itu kepada Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Walaupun tidak bertanding, tetapi sokongan kepada parti akan diteruskan dan akan membantu calon yang diketengahkan parti untuk bertanding bagi mempertahankan kubu kuat PAS di DUN Wakaf Mempelam.

"Saya juga sudah mengenal pasti calon mewakili parti untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Wakaf Mempelam dan akan menyerahkan nama kepada pucuk pimpinan tertinggi PAS," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Abdul Wahid yang dilahirkan pada 29 September 1957, di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu antara wakil rakyat PAS paling lama dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu selepas memenangi kerusi pada pilihan raya kecil pada 2009.

"Walaupun tidak bertanding, tetapi saya berjanji akan terus bersama PAS dan tidak akan lari untuk meneruskan perjuangan menegakkan agama, bangsa serta tanah air," katanya.

Dalam perkembangan lain, pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang juga ADUN Bandar, Azan Ismail, tetap untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

"Sebagai pengerusi dan wakil tunggal PKR di DUN Bandar, saya tidak akan mengundur diri untuk bertanding mempertahankan kerusi walaupun saya dimaklumkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru iaitu PKR, PAS dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sumber : BH Online


SHARE

Author: verified_user

0 komen: