Monday, 25 December 2017

SPNB Bina 79 Unit Rumah Mesra Felda

SHARE
Ahmad Razif menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail


Kerajaan negeri  melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) komited memberi manfaat kepada generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) apabila membangunkan 79 unit kediaman di kawasan Felda Belara, Tepoh, Kuala Nerus,  bermula Februari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek kediaman yang dikenali sebagai Rumah Mesra Felda itu akan dibina sama seperti konsep yang diguna pakai di Kampung Chalok, Setiu iaitu pembinaan rumah akan diselia SPNB di atas tanah milik Felda.

Katanya, kerajaan tiada masalah dan sangat mengalu-alukan projek kerjasama itu kerana bukan sahaja membantu generasi baharu memperoleh kediaman selesa malah dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


“Rumah Mesra Felda berkonsepkan rumah teres dengan jangkaan harga jualan sama seperti Projek Rumah Mesra Rakyat iaitu di bawah RM65,000 seunit.

“Pemilik iaitu mereka yang bekerja kampung, buruh atau dikategorikan sebagai berpendapatan rendah hanya  perlu membayar pinjaman secara bulanan antara RM150 hingga RM200 sebulan,”katanya.

Inisiatif itu bagi membantu pemilik yang tidak mempunyai  penyata gaji untuk memiliki rumah kerana mereka hanya perlu membayar kepada SPNB, bukan kepada bank.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  merasmikan Program Walkabout Menteri Besar Bersama Komuniti Felda Belara yang dihadiri kira- kira 1,000 penduduk setempat.


Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’  Basir Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil

Sebelum itu, Ahmad Razif turut meluangkan masa lebih satu jam di felda itu untuk sarapan bersama penduduk di Kedai Kopi Pak Hasan, seterusnya  melawat dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, warga emas dan pesakit kronik.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: