Tuesday, 26 December 2017

Penjawat Awam Perlu Sokong Kerajaan

SHARE
Dato' Nawawi dan Dato' Mohd Jidin bersama pemenang Anugerah Transformasi Setiu 2017 anjuran Pejabat Daerah Setiu di Bandar Permaisuri, Foto Harish Fadzillah Kassim


Penjawat awam di Terengganu disaran sentiasa menyokong setiap program kerajaan supaya perancangan dan hasrat kerajaan berjalan dengan lancar serta mampu direalisasikan.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail berkata, penjawat awam harus faham tugas dan tanggungjawab mereka.

"Selagi tuan puan berada di dalam perkhidmtan awam, tuan puan wajib mengikuti dan mengiakan apa sahaja program kerajaan.

"Sebab sekiranya kita sebagai kakitangan kerajaan, sekiranya kita tidak bersetuju dengan apa yang dibuat oleh kerajaan, haruskah kita berada dalam sistem (perkhidmatan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Anugerah Transformasi Setiu 2017 anjuran Pejabat Daerah Setiu di Bandar Permaisuri, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan bandar Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee, Ahli Parlimen Daerah Setiu, Datuk Mohd Zulkifly Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mat Azmi Arshad serta Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.

Wan Nawawi berkata, selagi penjawat awam berada dalam perkhidmatan, mereka harus melaksanakan apa yang dirancang serta digariskan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, menurut beliau lagi, soal untuk memilih parti mana itu terpulang kepada individu masing-masing.

Beliau juga mahu supaya setiap penjawat awam itu berada di hadapan untuk menyangkal segala tohmahan dan tuduhan tidak betul terhadap kerajaan.

"Mereka tidak sepatutnya mengiakan apa yang dibantah dalam pentadbiran awam tetapi marilah kita sama-sama bekerja untuk menjayakan matlamat dan usaha kerajaan," katanya.

Wan Nawawi turut mahu semua penjawat awam di negeri ini bersama-sama melangkah ke 2018 dengan azam untuk terus memajukan negeri dengan bekerja lebih gigih dan kemas lagi.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: