Sunday, 10 December 2017

PAU 2017 : Ucapan Presiden Suntik Semangat Luar Biasa - Ahmad Razif

SHARE

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan ucapan penggulungan Presiden UMNO Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 mencipta satu kelainan.

Beliau berkata, ianya cukup berbeza dengan ucapan di PAU sebelum ini yang mana pada PAU 2017, memberi satu semangat yang luar biasa kepada semua perwakilan.

"Mesyuarat Perwakilan Sayap-sayap  UMNO di PAU 2017 amat hebat sekali dengan menyentuh dan memberi suntikan besar kepada pejuang UMNO termasuklah ucapan penggulungan daripada YAB Presiden, saya nampak satu kelainan dan semangat yang saya tak pernah lihat sebelum ini.

"Sebaik sahaja, mereka (perwakilan) ini pulang ke kawasan masing-masing,akan dibawa bersama 'aura' baharu bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan pada awal tahun hadapan berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua perwakilan, respon dan reaksi dari perwakilan-perwakilan.

"Saya nampak tiada masalah dalam UMNO kerana segala permasalahan sebelum ini sudah selesai dan pemilihan kepimpinan (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan) sudah tidak timbul," katanya ketika diminta mengulas mengenai Ucapan Penggulungan Presiden Parti, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Razif berkata, semua peringkat harus akur dengan lontaran pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Presiden Parti dan memberi tumpuan sepenuhnya pada PRU14 yang akan datang pada bila- bila masa.

"InsyaAllah berbekalkan semangat PAU 2017 yang diberikan kepada semua perwakilan, kami akan pulang dan membuat persiapan yang lebih baik bagi memastikan kemenangan PRU14 berpihak kepada Barisan Nasional,"ujarnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: