Tuesday, 19 December 2017

Masjid Tiada Pengawal Keselamatan Disaran Pasang CCTV

SHARE
Ghazali menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Kursus Motivasi Budaya Kerja Cemerlang Dan Pemantapan Integriti Kepada Imam Dan Bilal Masjid Kerajaan Negeri Terengganu Siri Kedua Tahun 2017 di Hotel Grand Puteri. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Setiap masjid yang tidak mempunyai khidmat pengawal keselamatan disaran memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengekang sebarang aktiviti tidak sihat terutama kecurian tabung masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, ianya amat wajar bagi membendung kehilangan wang yang didermakan jemaah masjid dengan tidak memberi ruang kepada penjenayah untuk mendapatkan hasil daripada perbuatan keji mereka.

“Sejak akhir-akhir ini didapati ada dua tiga kes kecurian di dalam masjid ketika jemaah sedang solat dan perbuatan ini sangat mendukacitakan.

“Sepatutnya, kita hadir ke masjid untuk menunaikan solat dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T tetapi sebaliknya berlaku. Jadi, disarankan masjid-masjid yang mana tidak mempunyai kemudahan pengawal keselamatan seelok-eloknya memasang CCTV,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas kes kehilangan wang tabung masjid selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Motivasi Budaya Kerja Cemerlang Dan Pemantapan Integriti Kepada Imam Dan Bilal Masjid Kerajaan Negeri Terengganu Siri Kedua Tahun 2017 di Hotel Grand Puteri, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Azam Awi.

Menurut Ghazali, bagi mempertingkatkan aspek keselamatan di masjid, pihaknya juga akan melaksanakan penambahbaikan melalui kerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Sebagai langkah keselamatan, kita akan mantapkan lagi hubungan rakan polis dengan pihak PDRM secara lebih aktif termasuk melakukan rondaan dari semasa ke semasa di kawasan yang berisiko,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Ghazali berkata, sebanyak 876 jawatan imam dan bilal di masjid kerajaan masih belum diisi disebabkan calon temu duga tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan JHEAT.

Walau bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan mengadakan sesi temuduga dari semasa ke semasa dengan mengadakan beberapa penambahbaikan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: