Thursday, 28 December 2017

Khairul Wakili Malaysia Kejohanan PES League Asia Bangkok Januari Ini

SHARE


Seorang remaja tidak menyangka pembabitannya dalam permainan video bola sepak (Play Station) secara suka-suka selepas tamat persekolahan dahulu membawa tuah apabila berjaya mewakili Malaysia dalam Kejohanan Pro Evolution Soccer (PES) League 2x2 Asia di Bangkok, Thailand bulan depan.
Muhammad Khairul Amin Shamsudin, 20 dari Bandar Permaisuri, Setiu, berkata, dia hanya bermain secara suka-suka selepas tamat persekolahan kerana sebelum ini dia tidak pernah mempunyai permainan `video game' itu.
“Semasa tamat SPM, ayah saya belikan permainan PS3 dan pada masa itu saya bermain PES 15 mewakili Malaysia, tetapi malangnya tidak dapat meneruskan saingan mewakili Malaysia kerana tidak menang.
“Saya main permainan ini secara dua lawan dua, pada mulanya dua minggu lepas ada pemilihan untuk saringan mengikut peringkat zon di Malaysia iaitu mengikut negeri,” katanya yang kini giat menjalani latihan sekiranya tiada kelas pengajian.
Menurutnya, pemilihan pada masa itu dibuat di Shah Alam, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan dan pada pemilihan tersebut hanya memilih beberapa kumpulan untuk ke peringkat saringan yang dibuat di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada minggu lepas untuk saringan sekali lagi.

“Pemilihan ini hanya memerlukan dua pasukan sahaja di mana terdapat dua kali saringan untuk memasuki peringkat ini.
“Saringan pertama dibuat di sebuah studio di Seksyen 9, Shah Alam kerana saya belajar di Politeknik Engku Omar (Perak) dan menjalani latihan praktikal di Rawang Selangor, manakala pada hujung minggu saya akan ke sana,” katanya yang gemar bermain sukan itu pada masa lapang.
Menurutnya lagi, dia akan ke Bangkok, Thailand, pada 20 Januari depan bersama rakan pasukannya bagi mewakili Malaysia ke peringkat asia yang disertai lapan buah negara termasuk Korea Selatan dan Jepun.
Khairul Amin, anak sulung kepada pasangan Shamsudin Idris, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu dan isterinya, Hapsah Yusuff seorang guru di Sekolah Menengah Guntung, itu berkata, sebelum ini dia hanya bermain untuk satu lawan satu, bagaimanapun gagal membuktikan keupayan diri sehinggalah menyertai permainan dua lawan dua yang baru diperkenalkan untuk PES musim 2018. 
Tambahnya, dia bersama rakan pasukannya, Hafeez Shariffudin membuat keputusan untuk menyertai pertandingan pada kali ini memandangkan ini adalah peluang untuk mereka.
“Walaupun akan berhadapan dengan pemain handalan di Asia tetapi harapan saya adalah dapat mengharumkan nama negara serta Negeri Terengganu dalam sukan itu kerana pertandingan julung kalinya disertai warga Terengganu," katanya.
“Pada mulanya, ibu bapa saya tidak mengambil hal sangat pembabitan saya dalam permainan ini kerana ia hanyalah 'game' biasa tetapi selepas saya menyertai beberapa perlawanan barulah dia mula memberi perhatian dan sokongan, " katanya yang pernah mencapai beberapa kemenangan dalam sukan itu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: