Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Kerajaan Negeri Biayai Kos Urus Jenazah Tiga Beradik

Ibu arwah tiga beradik terpaksa dipapah anak sulungnya sejurus tiba di kampung petang ini.


Oleh : Aliffah Hanisfarhana Suhaidi

Kerajaan negeri bersedia membiayai  sepenuhnya kos pengurusan jenazah ketiga-tiga beradik korban nahas di Kampung Batu Putih, semalam.

Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar, Dr Wan Ashaari Wan Ismail mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman menziarahi dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada waris mangsa.


Wan Ashaari berkata, kerajaan negeri mengucapkan takziah dengan peristiwa yang sungguh menyayat hati apabila keluarga itu kehilangan tiga anak serentak dalam nahas pagi semalam.

"Kerajaan negeri berharap ibu bapa mangsa Rosnani Ibrahim, 53 dan bapanya Wan Kamaruzzaman Wan Muhamad, 56, yang baru sahaja tiba dari Mekah bagi melihat jenazah buat kali terakhir memperolehi ketabahan dan kekuatan berdepan ujian getir ini. Kami juga bersetuju menanggung sepenuhnya kos pengurusan tiga jenazah adik-beradik ini,"

“Keluarga berkenaan turut mendapat sumbangan kewangan daripada kerajaan negeri,” kata beliau selepas menziarahi keluarga arwah hari ini.


Lebih 200 keluarga, saudara mara, rakan sekerja dan sahabat handai memenuhi Unit Forensik Kemaman petang tadi sebelum jenazah dibawa pulang.

Dalam kejadian pagi semalam, tiga beradik maut nahas ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Lalang sebaik singgah di rumah saudara di Melaka selepas menghantar kedua ibu bapa dan seorang lagi adik beradik mereka, Wan Nur Afikah, 17, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua jenazah dimandikan sendiri oleh ibu bapa mereka yang baharu tiba dari KLIA pada jam 3.30 petang ini. Mereka selamat tiba di KLIA dari Mekah kira-kira jam 10 pagi.

Sebelum itu, Wan Kamaruzzaman dan Rosnani yang tidak dapat menahan sebak terpaksa dipapah oleh anak sulung mereka, Wan Muhd Al Rifae, 31, dan keluarga terdekat untuk menatap tiga anak mereka sebelum menyelesaikan urusan memandi dan pengebumian.

Anak mereka, Wan Nur Athirah, 27; Wan Nur Afifah, 25, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Pekan-Kuantan di Kampung Batu Putih, Kuantan, kira-kira jam 5.45 pagi semalam.

Dua lagi penumpang yang bersama mereka iaitu ibu saudara, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya, Nurul Aliani Zawawi, 25, turut tercedera dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Binjai dan disemadikan dalam satu liang lahad Tanah Perkuburan Islam Binjai selepas solat Maghrib, sebentar tadi.

No comments: