![]() |
Ahmad Razif menyampaikan bantuan kepada pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pengusaha Bot Penambang, Nelayan dan Buruh di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus, petang semalam. |
Kerajaan negeri terus komited membina lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMR) khususnya kepada golongan belia walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata
pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan hasrat kerajaan agar setiap
belia memiliki satu rumah dapat direalisasikan.
Katanya, terbaru, kerajaan akan menambah kira-kira 10,000
unit RMR dalam tempoh lima tahun dan pembinaan itu akan bermula pertengahan tahun depan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu.
“Jumlah itu termasuk pembinaan 500 unit RMR di kawasan
Seberang Takir yang akan memfokuskan golongan nelayan, buruh atau mereka yang berpendapatan rendah.
“Peruntukan sebanyak RM400 juta bagi tujuan itu sudah diluluskan dalam pembentangan bajet lalu dan kerajaaan bersedia memulakan pembinaan dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan
Kepada Pengusaha Bot Penambang, Nelayan dan Buruh di Dataran Permata, Seberang
Takir, Kuala Nerus, petang semalam.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina
Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Epic Berhad, Noor Fadzil Mohamed
Nor.
Seramai 886 penerima terdiri golongan nelayan, buruh dan
pengusaha bot penambang hadir menerima bantuan yang disumbangkan Epic Berhad
dan Etiqa Takaful Berhad berupa wang tunai RM300 dan barangan dapur dengan
nilaian RM100.
Ahmad Razif turut memberitahu, inisiatif sama turut dijalankan
dengan kerjasama beberapa syarikat berkaitan termasuk Tenaga Nasional Berhad dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi
membina perumahan rakyat.
“Selain menerima projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan
rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.
Terdahulu, Ahmad Razif turut menyampaikan cek bagi
pembelian alat fisioterapi bernilai RM119,434 sumbangan EPIC kepada Pusat
Hemodialisis Seberang Takir.
Alatan itu termasuk HUR 8000 Pulley, HUR Leg
Extension/Curl, Kettler Cross M Trainer, XFT Foot Drop System dan Flexband
roll.
0 komen: