Tuesday, 26 December 2017

Felda Belara Bakal Jadi Bandar Baharu - Ahmad Razif

SHARE
Ahmad Razif ketika bersama penduduk Felda Belara ketika program turun padang bersama Menteri Besar di Felda itu, semalam. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan negeri  berharap masyarakat  Felda Belara, Tepoh, Kuala Nerus  bersedia melalui proses transformasi pembangunan termasuk merealisasikan kewujudan sebuah bandar baharu suatu masa kelak.

Menteri Besar, Dato’  Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata  sudah tiba masa bagi penduduk Felda melalui proses transformasi memandangkan kedudukannya di lokasi strategik berdekatan kepesatan pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus.

Katanya, Felda Belara juga terletak berhampiran pintu masuk ke Tasik Kenyir selain laluan utama ke Kelantan serta merupakan gugusan felda yang paling hampir dengan pusat bandaraya.

“Oleh itu, saya berharap penduduk di kawasan berkenaan  perlu mengambil  peluang  bagi mempastikan felda membangun seiring dengan pembangunan yang sedang kita laksanakan.

“Kita rasa tidak ada masalah kalau Felda dapat laksanakan dan sediakan peluang pekerjaan kepada anak generasi Felda,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Walkabout Bersama Menteri Besar di Felda Belara, Kuala Nerus,  yang dihadiri kira- kira 1,000 penduduk setempat, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’  Basir Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil.

Sementara itu, Ahmad Razif memberi jaminan bahawa kerajaan negeri bersedia membantu pengurusan Felda bagi merealisasikan hasrat membangunkan Felda Belara termasuk menyegerakan pembinaan kediaman untuk generasi kedua Felda berkenaan.

"Saya beri jaminan kerajaan negeri akan bantu beri sokongan penuh bagi memastikan hasrat golongan generasi kedua untuk miliki rumah sendiri di kawasan Felda ini dapat kita realisasikan yang melibatkan 79 lot untuk 79 keluarga," jelasnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: