Thursday, 21 December 2017

Cabaran Adu Kolek Terengganu Di Pulau Warisan

SHARE


Terusan buatan manusia sepanjang kira-kira 700 meter di Pulau Warisan, Kuala Terengganu bakal menjadi tumpuan ribuan pengunjung  bagi menyaksikan cabaran Adu Kolek Terengganu selama dua hari bermula 23 Disember (Sabtu) ini .

Perlumbaan itu akan menyaksikan 12 pasukan berentap, termasuk pasukan dari Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin bagi merebut hadiah keseluruhan hampir RM9,000  di mana tempat pertama menawarkan RM2,500 .

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata adu merupakan satu istilah yang membawa maksud bertanding untuk merebut kemenangan dalam sesuatu perlumbaan.

Katanya, manakala kolek merupakan sejenis perahu tradisi Terengganu yang digunakan oleh masyarakat persisir untuk menangkap ikan dengan penggunaan layar dan berkayuh sebagai asas pada pergerakan perahu.

“Acara-acara pesta air ini antaranya perlumbaan perahu nelayan seperti Payang, Kolek, Sekoci, perahu panjang, bot nelayan, bot penambang, bot berhias, tangkap itik, pukul bantal dan panjat tiang licin.

“Sehingga kini terdapat beberapa negeri di Malaysia yang mana masih mengekalkan dan memartabatkan acara-acara air yang menjadi simbol bagi negeri tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Duyong Marina, Kuala Terengganu, petang ini.

Katanya, sewajarnya program sebegini diteruskan kerana bertepatan  Terengganu yang sinonim dengan gelaran  `Negeri Persisir Air’.

“Pertandingan seumpama ini diharap dapat menarik pelancong ke negeri ini  menghayati kehebatan masyarakat maritim Terengganu sekaligus menghidupkan kembali warisan nenek moyang yang cukup handal mengunakan perahu pada satu ketika dahulu.

“Pertandingan lumba perahu tradisi mampu menarik minat dan kecenderungan golongan belia remaja untuk berkecimpung dalam acara sukan rekreasi air, “katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: