Tuesday, 19 December 2017

Bicara Bajet Terengganu 2018 : Ekonomi Negara Masih Di Landasan Kukuh

SHARE

Pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara yang mencapai 5.8 sehingga 6 peratus sebagai tertinggi di Asia pada tahun ini, membuktikan ekonomi negara masih baik dan berdaya saing.

Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, berdasarkan data Bank Negara Malaysia, jika pada tahun lepas PKS mencapai 5.2 peratus dan ia meningkat 0.6 hingga 0.8 peratus tahun ini.

“Data Bank Negara dan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), bagi saya bukan omongan kosong sebaliknya berdasarkan fakta yang diambil (kajian) daripada struktur ekonomi.

“Kadang-kadang kita hanya mengambil data tertentu dan mengatakan ekonomi kita dalam proses yang teruk. Malah, ada mengatakan negara kita dalam keadaan bangkrap. Tetapi bagi saya kita kena melihat secara keseluruhan (data-data ini),”katanya.

Beliau mengulas demikian dalam sesi wawancara sempena Bicara Bajet Terengganu 2018 yang dihoskan oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan) Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Muhd Aimin Mohd Tahir, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, eksport PKS juga meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 6.6 peratus tahun ini.

Tambahnya, secara purata, kesan kelembapan ekonomi ini turut memberi kesan kepada PKS, bagaimanapun kesan itu hanya bersifat sementara.


Menurut beliau, berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat yang diperbadankan di Terengganu meningkat begitu ketara apabila pada 2015 merekodkan lebih 4,000 syarikat, 2016 sebanyak 5,900 syarikat dan pada 2017 pula mencatatkan sebanyak 25,000 syarikat sekali gus membuktikan ekonomi masih di landasan yang baik.

Dalam pada itu, beliau sebelum itu berkata, takrifan yang lebih sesuai kepada kelembapan ekonomi adalah proses pemulihan dan pemulihan itu bukan terjadi kepada negara kita sahaja, tetapi turut dialami negara lain serta menjadi masalah global.

Muhammad turut memberitahu, Bajet Terengganu 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Terengganu merangumi empat pe-tunjang meliputi 60 touchpoint menyediakan kira-kira RM29.7 juta untuk pembangunan PKS negeri secara keseluruhannya.

Antaranya menyediakan RM2 juta untuk Program Jaya Diri, Skim Pembangunan Usahawan Desa juga berjumlah RM2 juta untuk membantu mendapatkan dana menjalankan perniagaan.

Skim ini meliputi pinjaman dalam bentuk Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Skim Pinjaman Usahawan Desa (SPUD), Skim Pinjaman Online Business (SPOB) dan Skim Pinjaman Kecil (SPK).

Lain-lainnya adalah bantuan pinjaman Skim Pembiayaan Food Truck di bawah Skim Pinjaman Tanpa Faedah Al-Ijarah, dengan maksima pinjaman sebanyak RM75,000 dan dijangka memberi manfaat langsung kepada 135 orang usahawan.

Selain itu, Hab Digital Terengganu dibangunkan di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu dan di Setiu.- www.terengganu.news

SHARE

Author: verified_user

0 komen: