Monday, 11 December 2017

Bajet 2018 : Ucapan Penuh Bajet Negeri

SHARE

UCAPAN PENUH BAJET NEGERI TERENGGANU TAHUN 2018
Oleh
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HAJI AHMAD RAZIF BIN ABD RAHMAN
Menteri Besar Terengganu

KETIKA MEMBENTANGKAN RANG ENAKMEN PERBEKALAN 2018
DI DEWAN UNDANGAN NEGERI TERENGGANU
11 DISEMBER 2017
BERSAMA MELANGKAH KE HADAPAN

MUQADDIMAH
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kain tenun pengalas meja,
Kain kasa pembalut luka;
Awal Bismillah pemula bicara,
Gelanggang dibuka, langkah perkasa.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Nahl ayat 90 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, Tuhan seluruh alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Syukur kepada Allah SWT, kerana dengan izin dan rahmat-Nya dapat saya bentangkan kepada Dewan yang mulia ini, Bajet Negeri Terengganu bagi tahun 2018.

Pembentangan Enakmen yang bernama Enakmen Perbekalan Tahun 2018 ini, adalah untuk mendapat pertimbangan Dewan yang mulia, bagi menggunakan sejumlah wang dari Kumpulan Wang Disatukan, untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan Negeri pada tahun 2018. Kenyataan lengkap cadangan untuk Bajet 2018 ini adalah sepertimana yang terkandung dalam Buku Bajet Negeri Tahun 2018.

Alkisahnya, pembentangan Bajet pada kali ini, ialah Bajet yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-14. Justeru, Kerajaan tidak dapat menghalang mana-mana pihak dari beranggapan bahawa Bajet ini 2018 adalah Bajet Pilihanraya.

Kendatipun begitu, harus ditegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional bukanlah Kerajaan yang bermusim kerana kita percaya proses transformasi untuk mensejahterakan kehidupan rakyat perlu berterusan, bukan menabur janji menjelang Pilihanraya tiba.

Inilah yang Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional perjuangkan, daripada semenjak kemerdekaan dijunjung, sehinggalah sekarang Negara kita disanjung.

Perjuangan Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional adalah perjuangan yang berterusan untuk membela dan membawa kesejahteraan kepada rakyat, dari dahulu, kini dan selamanya. Natijahnya, Malaysia penuh aman dan sentosa, makmur lagi sejahtera.

Alhamdulillah, rakyat Malaysia juga memainkan peranan yang sangat hebat. Adat pulau limburan pasang. Kita hidup bantu-membantu, yang kaya membantu yang miskin, yang berkuasa melindungi yang lemah.

Masyarakat saling bermuafakat dan bersatu padu. Sepertimana pepatah Melayu, serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk menyampaikan ucapan salam yang tulus ikhlas dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Terengganu Darul Iman. Terima kasih di atas sokongan, kerjasama, maklum balas, teguran dan nasihat.

Ibarat lagu dan irama. Bagai aur dengan tebing. Kerajaan dan rakyat berpisah tiada. Pertahankanlah perpaduan, keamanan dan kemakmuran ini. Dengan semangat kesatuan dan solidariti, Insya Allah kita akan sama-sama menempa lebih banyak kejayaan.

Pagi ini, saya percaya, ramai yang sedang mengikuti ucapan Bajet Negeri 2018. Dari Utara sehinggalah ke Selatan, dari Besut sehinggalah ke Kemaman.

Mereka menekuni persembahan ucapan ini dengan penuh tertib di dalam Dewan yang mulia ini. Mereka mendengar dengan khusyuk melalui corong radio, mereka mengikutinya dengan bersemangat di Pejabat-Pejabat Daerah.

Malahan, oleh kerana Ucapan Bajet ini disiarkan secara langsung melalui alam maya, anak-anak Terengganu yang berada nun jauh di perantauan, di Kuala Lumpur, malah di London, di Kaherah, di Medan, semua mendapat maklum akan Bajet Negeri yang Kerajaan bentangkan.

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah menyediakan infostruktur yang baik, kemudahan jalur lebar yang merata, sehingga ramai rakyat dapat mendengar dan mengikuti ucapan ini dengan terus, dengan telus dan dengan tulus.

Semestinya Bajet kali ini berbeza kerana Bajet ini dirangka berasaskan apa yang rakyat hendak, dan bukannya semata-mata apa yang Kerajaan mahu.

Penyediaan Bajet 2018 telah mengambilkira pandangan daripada akar umbi. Lapan (8) siri jelajah Bengkel Bajet 2018 telah dilaksanakan di seluruh lapan (8) Daerah dalam Negeri Terengganu. Kerajaan mendengar dengan sabar, mencerakin dengan teliti.

Di setiap bengkel, semua kelompok masyarakat telah diwakili. Orang muda dan pemimpin belia, golongan petani dan nelayan, pemandu bot pelancong dan pengusaha homestay, pemaju restoran dan pemandu teksi, para guru dan kakitangan Kerajaan, ahli akademik dan golongan profesional, imam bilal dan pemimpin NGO. Hampir 800 orang semuanya yang telah hadir.

Berbeza dengan siri-siri jelajah tahun-tahun yang lepas, siri jelajah Bengkel Bajet 2018 baru-baru ini, benar-benar mendapat sambutan yang luar biasa daripada kalangan peserta. Mereka sangat partisipatif, sangat bersungguh, sangat bersedia dengan idea dan cadangan.

Saya kagum dan bangga dengan sikap rakyat Terengganu yang sentiasa positif. Sama-sama ingin bangunkan Negeri Terengganu Darul Iman. Sama-sama mahu lihat rakyatnya lebih maju.

Sama-sama ingin bina masa hadapan yang lebih baik untuk anak cucu kita, “Masa Hadapan Yang Lestari”.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua, inilah tema Bajet kita pada kali ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Daripada “Jelajah Bengkel Bajet 2018” tersebut, sebanyak 537 cadangan dan isu telah diketengahkan. Kesemua cadangan dan isu telah kita ambil cakna, telah kita ambilkira, dianalisa dan dikategorikan.

Ingin sekali kita ambil dan laksanakan semua cadangan yang diberi. Namun, hanya cadangan yang bersifat three-feet level, (dengan izin), cadangan yang boleh dilaksanakan segera, yang bersifat low hanging fruits atau touch points (dengan izin) dirangkum menjadi satu, itulah cadangan yang dapat dipersembahkan melalui Ucapan Bajet kali ini.

Inilah ilustrasi dan bukti pengamalan prinsip inklusif, sebagaimana yang terkandung dalam gagasan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Kerajaan benar-benar mahu mendengar, dan rakyat sungguh-sungguh mahu didengari. Kerajaan dan Rakyat, kita bergerak seiringan dalam membina Masa Hadapan Yang Lestari.

Kepada mereka yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan untuk Bajet Negeri 2018, saya ucapkan Terima Kasih, Terima Kasih dan Terima Kasih.

PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Senario Negara Ibarat rantai besi dimakan bubuk. Mutakhir ini, terlalu banyak kenyataan yang tidak masuk akal tentang ekonomi Negara.

Kononnya Malaysia sebuah Negara yang gagal (a failed state) (dengan izin). Kononnya Negara kita akan bankrap. Alhamdulillah, empat lima tahun setelah kenyataan-kenyataan pelik ini dibuat, Malaysia terbukti bukan sebuah Negara yang gagal dan Malaysia tidak bankrap.

Tidak ada Negara di dunia yang mampu hidup sendirian, sementelahan sebuah Negara perdagangan atau a trading nation (dengan izin) seperti Negara Malaysia. Maka terdedahlah kita kepada turun naik perkembangan ekonomi dunia.

Kalau Negara Amerika Syarikat bersin, maka seluruh dunia akan demam. Begitulah perumpamaan yang diberi. Kini, Negara China pula mempunyai pengaruh yang sama. Apabila gergasi-gergasi dunia ini mengalami masalah ekonomi, kita sebagai sebuah Negara kecil, akan terkena tempiasnya.

Namun, sepertimana syair seorang Cendekiawan dan Ulama terkenal nusantara iaitu Allahyarham HAMKA:

Malang dan mujur nasibnya bangsa,
Turun dan naik silih berganti;
Terhenyak lemah naik perkasa,
Bergantung atas usaha sendiri.

Kelangsungan kita sebagai sebuah Negara bangsa bergantung kepada kebijaksanaan, kemahiran dan kemampuan kita berusaha mengurus ekonomi Negara.

Di saat ini, ternyata Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional ini mampu mengurus ekonomi Negara dengan sangat baik walaupun landskap politik dan ekonomi sangat tidak menentu. Malaysia mampu mencatat pertumbuhan dan perkembangan ekonomi yang menakjubkan, sepertimana yang termazkur dalam laporan badan-badan antarabangsa, termasuklah Bank Dunia dan agensi penarafan seperti Moody’s dan Fitch.

Kasihan mereka yang sentiasa merendah-rendahkan kejayaan Negara dengan pelbagai tohmahan. Yang gagal bukan Negara ini. Yang gagal ialah niat mereka untuk memburuk-burukkan tanah air sendiri. Sedarlah saudara-saudaraku tiada untung mencela Negara tanah tumpah darah kita. Kita sepatutnya merasa bangga dengan Negara kita sendiri. Berpeganglah dengan peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Malaysia menjadi sebuah Negara yang berjaya, bukan hanya terhad kepada pertumbuhan KDNK yang tinggi semata-mata. Berikut adalah secebis cerita kejayaan atau success stories (dengan izin), dalam pelbagai bidang, dan disahkan oleh pelbagai agensi antarabangsa. Kerajaan ini ternyata mampu dan berjaya mengurus Negara.

KITA BUKAN NEGARA YANG GAGAL.

Pertama - Bank Negara Malaysia dalam kenyataan terbaharu pada 16 November telah mengumumkan pertumbuhan ekonomi Negara untuk suku ketiga 2017 ialah pada kadar 6.2%, satu angka yang sangat tinggi, dan antara yang paling tinggi dalam kalangan Negara-negara Asia;

Kedua - Agensi penarafan kredit Fitch Ratings mengekalkan penarafan Negara kepada A- (A minus) (dengan izin) berdasarkan pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh berbanding Negara-negara lain yang mempunyai markah penarafan yang sama;

Ketiga - Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah meletakkan Malaysia di tangga ke-23 daripada 138 buah Negara dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) terbaharu bagi tahun 2017/2018.

Kedudukan Malaysia bukan sahaja melonjak dua anak tangga daripada tahun lepas, malah Negara kita kekal berada dalam kalangan 20% Negara paling berdaya saing di dunia;

Keempat - Malaysia berada dalam kelompok 50 terbaik dunia, yakni Negara paling makmur, daripada 149 Negara lain berdasarkan Legatum Prosperity Index 2017 (dengan izin). Dalam kalangan Negara Asia Timur, Malaysia di tempat kelima selepas Singapura, Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan;

Kelima - Mengikut kajian Annual Global Retirement Index (dengan izin), Malaysia adalah antara 10 Negara terbaik di dunia untuk menetap selepas bersara. Kuala Lumpur berada di tangga ke-6 dan satu-satunya Negara Asia yang tersenarai;

Keenam - Menurut Global Peace Index 2017, (dengan izin), Malaysia adalah Negara paling aman yang ke-29 dunia daripada 163 buah Negara;

Ketujuh - Lima (5) Universiti Malaysia berada di senarai TOP 50 (dengan izin) Asia. Dan baru-baru ini, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya telah dinobatkan sebagai antara 10 terbaik di dunia;

Kelapan - Lapan (8) Politeknik Malaysia berada di senarai TOP 10 (dengan izin) Politeknik di rantau Asia Pasifik;

Kesembilan - Bank Dunia dalam laporannya “Doing Business Report 2017” (dengan izin), meletakkan Malaysia di tangga ke-23 dunia sebagai Negara paling mesra perniagaan daripada 190 Negara;

Kesepuluh - Malaysia adalah Negara ke-15 daripada 137 buah Negara di dunia dalam senarai Kerajaan yang paling cekap berbelanja, menurut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017-2018 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF);

Kesebelas - 2.26 juta peluang pekerjaan telah dicipta daripada tahun 2009 sehingga tahun 2016;

Kedua Belas - Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jualan kenderaan di Malaysia telah meningkat 24.7% daripada Mei 2016 sehingga Mei 2017;

Ketiga Belas - Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporannya pada tahun 2017, Malaysia adalah pemimpin dunia dan penentu aras dalam bidang Kewangan Islam;

Dan yang Keempat Belas - Mengikut Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa yang diterbitkan pada 29 September 2017, 76% rakyat Malaysia membeli belah secara online sekali sebulan. Ini menunjukkan kuasa beli dan kemampuan rakyat Malaysia untuk berbelanja adalah positif dan infrastruktur seperti kemudahan jalur lebar dan jaringan internet di Negara kita sangat baik.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Kesemua 14 bukti atau kenyataan di atas mungkin tidak memberi makna besar kepada Pak Mat, Pak Usop, Mak Cik Esah, atau Kak Nah di kampung, tetapi ianya antara beberapa bukti bagi menunjukkan bahawa Negara kita di landasan yang betul bukan sebagaimana tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya mohon maaf kerana mengambil sedikit masa untuk menyentuh perkara ini. Saya perlu nyatakan, kerana gambaran yang diberi sesetengah pihak seolah-olah Negara ini sangat daif dan lemah.

Semua fakta ini dinyatakan sebagai benar setelah ditafahus pelbagai pihak, baik di dalam mahupun di luar Negara. Tegasnya, kita di landasan yang betul.

Kendatipun, Kerajaan sentiasa memperbaiki kelemahan dan membuat penambahbaikan secara berterusan. Jelas bahawa Kerajaan Barisan Nasional ini adalah Kerajaan yang mampu mengurus Negara dengan baik. Kita akan terus beri perhatian kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, khasnya beban yang ditanggung oleh mereka yang tergolong dalam kategori B40.

Insya Allah, Kerajaan ini akan bersama-sama rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk membawa Negara dan rakyat ke Masa Hadapan Yang Lestari.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

SENARIO NEGERI

Negeri Terengganu Darul Iman ibarat peribahasa Melayu, air jernih, ikannya jinak. Negeri yang aman dan teratur. Rakyatnya juga berbudi bahasa. Ya Allah, Peliharakanlah Terengganu.

Dari sudut ekonomi, keadaannya bertambah baik. Pertumbuhan ekonomi terus positif dan meningkat kepada 3.8% pada tahun 2017 berbanding 3.1% tahun lepas. Peningkatan ini adalah berdasarkan pemulihan ekonomi global dan pertumbuhan ekonomi Negara yang didorong oleh permintaan domestik dan pelaburan swasta, di samping pasaran buruh Negara yang stabil.

Harga petroleum di pasaran dunia juga dalam trend meningkat sepanjang enam bulan kebelakangan ini. Adalah diharapkan harga petroleum akan terus meningkat dalam tahun 2018, sekaligus dapat membantu Kerajaan Negeri merangka dasar dan program kesejahteraan rakyat dengan lebih selesa.

Semua sektor ekonomi dijangka mencatatkan peningkatan pada tahun 2017. Data-data terbaharu yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia dan kajian yang dibuat oleh pakar ekonomi iaitu Tan Sri Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali, turut menemukan perkara-perkara berikut:

Pertama - Pendapatan Bulanan Isi Rumah Penengah 2016 atau Median Monthly Household Income (dengan izin) untuk Negeri Terengganu telah meningkat. Peningkatan untuk Negeri Terengganu melebihi purata kebangsaan pada tahun 2014 dan yang paling tinggi berbanding sembilan (9) Negeri lain;

Kedua - Peratusan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi di Negeri Terengganu ialah pada tahap 30%. Ini satu aset yang besar. Angka ini melebihi dan berkembang lebih cepat daripada purata di peringkat nasional iaitu 28%;

Ketiga - Agihan pendapatan dalam kalangan penduduk di satu Daerah, adalah hampir seimbang di semua Daerah dalam Negeri Terengganu;

Keempat - Pendapatan isirumah bulanan purata juga dijangka meningkat kepada 6,411 ringgit dalam 2017 berbanding 5,776 ringgit pada tahun 2016;

Kelima - Bilangan peluang pekerjaan yang ditawarkan sepanjang tempoh 2014 sehingga 2017 mencecah angka lebih 27 ribu kekosongan yang merangkumi 25 ribu kekosongan di pihak swasta dan 2,284 kekosongan dalam Perkhidmatan Awam Negeri, Badan-Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri dan Universiti-Universiti Awam di Negeri Terengganu;

Keenam - Dalam aspek usaha membasmi kemiskinan, sehingga Disember, 2017, Negeri Terengganu ialah Negeri yang Kedua Tertinggi berjaya mengeluarkan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kelompok miskin tegar mengikut senarai e-kasih iaitu seramai 48,940 KIR.

Negeri Terengganu juga adalah salah satu di antara dua buah negeri di Malaysia yang tidak lagi mempunyai KIR yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Tahniah Terengganu;

Dan Ketujuh - Bilangan Jemaah dari Negeri Terengganu yang mengerjakan ibadat haji ke Mekah bertambah setiap tahun iaitu 621 jemaah pada tahun 2014, 832 jemaah pada tahun 2015, 1,327 jemaah pada tahun 2016 dan 3,609 jemaah pada tahun 2017.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Jelas sekali kejatuhan harga minyak tidak menjejaskan usaha kita untuk berusaha mengurus ekonomi dan kewangan Negeri dengan sebaik mungkin. Memang keadaan sangat mencabar. Ekoran kejatuhan teruk harga minyak di pasaran dunia, Negeri Terengganu turut kehilangan pendapatan sebanyak 610 juta ringgit iaitu daripada 2.21 bilion pada tahun 2015 kepada 1.6 bilion pada tahun 2016.

Sungguhpun demikian, keadaan ini tidak sesekali menghalang kita daripada terus bekerja kuat untuk kesejahteraan rakyat. Malah, kita sudah buktikan kemampuan untuk mengurus dan mentadbir Negeri ini dengan baik. Alhamdulillah.

Syair Allahyarham HAMKA turut menyebut:

Tidaklah Allah mengubah untung,
Suatu kaum dalam dunia,
Jika hanya duduk terkatung,
Berpeluk lutut berputus asa.

Di kesempatan ini, saya dan rakan-rakan saya dalam barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh warga pentadbiran, baik di peringkat Negeri mahupun Persekutuan.

Tahniah kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, yang menyediakan kepimpinan (provide leadership) (dengan izin) beserta tagline Be Better Work Together (dengan izin).

Terima kasih kerana telah memberi kerjasama yang sangat baik, menunjukkan tahap dedikasi yang terpuji dan kecekapan yang menjadi penanda aras, terutama di saat-saat Negeri kita menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan yang besar.

Ya, saya faham, ramai yang ternanti-nanti, mungkin ada pengumuman tertentu bagi menghargai sumbangan semua pihak, khasnya para penjawat awam. Untuk itu, saya sarankan supaya kita ikuti dahulu Ucapan Bajet ini sehingga ke akhirnya. Insya Allah.

Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,

PRESTASI 2017

Saya juga ingin berkongsi 14 cerita kejayaan atau success stories yang melambangkan kehebatan dan semangat juang anak-anak Terengganu kita di peringkat nasional dan antarabangsa:

Pertama - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu telah berjaya mengungguli Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan dengan penarafan lima bintang dan mencatatkan perolehan markah yang paling tinggi;

Kedua - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu telah memenangi Pingat Emas sebanyak lima kali berturut-turut dalam International Convention On Quality Control Circles (dengan izin) di Manila, Filipina;

Ketiga - Pejabat Kesihatan Kemaman menjadi Johan Projek Inovasi dengan produk ResQMedTrolley sempena Konvensyen Inovasi dan Kreativiti Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia 2017. Produk ini diiktiraf dan kini diguna pakai bagi membantu Misi Kemanusiaan di Malaysia Field Hospital (Kem Pelarian Rohingya) di Bangladesh;

Keempat - J3K Kampung Baru Kemasik telah menjadi Johan Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan 2017;

Kelima - Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong telah menjadi Johan Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2017, Kategori Menengah Rendah;

Keenam - Hajah Saripah Embong, Guru dari Sekolah Menengah IMTIAZ, Kuala Terengganu menerima Anugerah Guru Hebat Asia Tenggara dari Princess Maha Chakri Award Foundation 2017;

Ketujuh - Terengganu International Endurance Park diiktiraf antara Lima Gelanggang Kuda Lasak Terbaik Dunia;

Kelapan - Azizulhasni Awang, anak kelahiran Dungun, Juara Dunia di Kejohanan Berbasikal Dunia 2017;

Kesembilan - Perkahwinan Perdana TTB 2017, dicatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai Majlis Perkahwinan Terbesar pernah diadakan dengan menghimpunkan seramai 271 pasangan;

Kesepuluh - Sekolah Menengah Imtiaz, Besut, Juara Dunia buat kali ke-2 sempena World Invention Creativity Contest untuk tahun 2015 dan 2017;

Kesebelas - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, sekolah aliran Agama pertama terima pengiktirafan International Baccalaureate World School 2017;

Kedua Belas - Fatehah Mustapa, anak kelahiran Kuala Berang, berjaya mendapat empat (4) Pingat Emas dalam empat (4) acara berbasikal di Sukan Sea, Kuala Lumpur 2017;

Ketiga Belas - Terengganu pengeluar benih ikan marin utama Negara, hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Tanjung Demong, Besut. Tahniah kepada Tuan Fakaruddin Tuan Kadir, penternak ikan kerapu hibrid, yang dahulunya nelayan, kini bergelar usahawan;

Dan yang Keempat Belas - Terengganu Hockey Team (THT) Juara Hoki Piala TNB empat (4) tahun berturut-turut sejak tahun 2014.

14 cerita kejayaan ini hanyalah sebahagian kecil daripada ratusan cerita-cerita kejayaan yang telah dirakamkan oleh rakyat Terengganu. Tahniah dan syabas! Ianya melambangkan kehebatan dan kemampuan orang Terengganu bersaing dan mencipta sejarah tersendiri. Semoga menjadi inspirasi kepada orang lain. Tahniah juga kepada semua rakyat Terengganu.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,
PERUNTUKAN BAJET 2018

Perahu sarat dengan muatan,
Menolak galah buluh rekah,
Jika rakyat erat perpaduan,
Mudah Kerajaan mengatur langkah.

Demi kesejahteraan rakyat, maka Bajet pada tahun 2018 akan memperuntukkan, sejumlah 1.996 bilion ringgit. Anggaran hasil adalah sebanyak 1.815 bilion ringgit, menjadikan Bajet ini satu Bajet defisit iaitu sebanyak 10% yang bersamaan 181 juta ringgit.

Bagi melaksanakan Bajet tahun 2018, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak 1.996 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Mengurus, 823.43 juta ringgit untuk Pembangunan dan 3.77 juta ringgit untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Pendapatan daripada Hasil Cukai adalah sebanyak 66.42 juta ringgit, Hasil Bukan Cukai sebanyak 203.93 juta ringgit dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak 1.544 bilion ringgit. Daripada jumlah tersebut, 84.95% adalah daripada Pemberian Kerajaan Persekutuan.

Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak 94.6 juta ringgit diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah 1.901 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Bekalan.

Di bawah Perbelanjaan Bekalan pula sebanyak 286.65 juta ringgit adalah untuk Emolumen, 202.34 juta ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan, 23.72 juta ringgit untuk Aset, 1.387 bilion ringgit diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak 550 juta ringgit, dan 1.16 juta ringgit untuk Lain-lain Perbelanjaan.

Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sebanyak 230 juta ringgit adalah bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, 149.6 juta ringgit bagi pemberian kepada Pelbagai Agensi dan Kumpulan Wang, 29.97 juta ringgit bagi pemberian kepada Pejabat-Pejabat Daerah, 57.22 juta ringgit bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, 353.18 juta ringgit bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32 - Pelbagai Perkhidmatan dan lain-lain sebanyak 17.56 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

4 PETUNJANG BAJET 2018

Adapun syair Allahyarham HAMKA telah menyebut:

Bercermin pada sejarah moyang,
Kita sekarang mengubah nasib,
Di zaman susah atau pun riang,
Tolong tetap dari Yang Ghaib.

Sewaktu Pembentangan Bajet Negara 2018, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, telah membuat penegasan berikut:

“…sesungguhnya secara sedar atau tidak, sejak meraih kemerdekaan, kita begitu bertuah kerana bapa-bapa pendahulu telah menyulam manik-manik azimat Maqasid Syariah, yang mementingkan pemeliharaan 5 aspek, yakni Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta di dalam setiap dasar dan setiap perancangan Kerajaan.”

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Kepimpinan Negara sebenarnya telah merangka dan menyusun segala dasar berpandukan kerangka Maqasid Syariah ini. Kerangka ini menyentuh tentang kepentingan menjaga kemaslahatan umat, seperti keperluan-keperluan asas yang paling utama, kemudahan tertentu bagi mengelakkan kesukaran dan kesempitan serta keperluan lainnya yang menyumbang ke arah kesempurnaan hidup.

Malaysia berjaya kerana kita bijaksana dalam mengutamakan yang utama dan matang dalammengurus kehendak kelompok masyarakat yang pelbagai.

Kerajaan Negeri berpendirian, Bajet Negeri 2018 juga haruslah memberi keutamaan kepada yang utama dan segera iaitu keperluan-keperluan dan kemudahan tertentu untuk rakyat, bagi mengurangkan bebanan dan yang menyumbang ke arah kesejahteraan kehidupan rakyat.
Dan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada rakyat dan juga kajian-kajian yang dibuat, maka keperluan mendesak bagi rakyat adalah dalam menangani isu 3P iaitu Peningkatan Kos Sara Hidup, Pekerjaan dan Perumahan.

Maka pada hari ini, Bajet Negeri 2018 menampilkan empat (4) PE-TUNJANG yang akan menjadi asas kepada 60 titik sentuhan atau touchpoints (dengan izin), yakni perkara-perkara yang menyentuh terus kepada keperluan segera dan utama untuk rakyat.

4 PE-TUNJANG tersebut ialah:

PE-TUNJANG PERTAMA:
Mengurangkan beban rakyat dalam menangani isu PENINGKATAN KOS SARA HIDUP

PE-TUNJANG KEDUA:
Meningkatkan Penawaran dan Pengwujudan Peluang PEKERJAAN

PE-TUNJANG KETIGA:
Mengisi Keperluan PERUMAHAN Rakyat

PE-TUNJANG KEEMPAT:
Mendukung PEMBANGUNAN YANG BERSIFAT INKLUSIF DAN BERPAKSIKAN RAKYAT (rakyat - centric)

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Adapun Bajet pada kali ini menampilkan sedikit kelainan dari segi struktur dan persembahan. Langkah luar daripada kelaziman diambil supaya rakyat lebih mudah faham apa manfaat langsung yang mereka akan terima. Objektif tetap adalah untuk meningkatkan wang perbelanjaan yang boleh diguna pakai oleh rakyat atau take home pay (dengan izin).

Maka dengan ini, Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua, saya suka mengumumkan 60 touchpoints (dengan izin) yang diasaskan kepada empat (4) PE-TUNJANG yang digariskan:

PE-TUNJANG PERTAMA :
Mengurangkan beban rakyat dalam menangani isu PENINGKATAN Kos Sara Hidup
Touchpoint pertama - Bagi meningkatkan pendapatan dan menggalakkan rakyat, khasnya golongan muda menceburi perniagaan dan keusahawanan, maka Kerajaan akan menambahbaik Projek Infra Niaga. Sebanyak 12.75 juta ringgit diperuntukkan bagi menambah ruang-ruang niaga, kiosk dan premis-premis jualan di samping menaiktaraf kemudahan untuk berniaga yang ada.

Touchpoint kedua - Program Perkahwinan Perdana TTB yang diperkenalkan Kerajaan Negeri kita, telah terbukti berjaya membantu dan meringankan beban kewangan pasangan yang ingin berkahwin.

Malah, ianya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records. Alhamdulillah, setelah 2 tahun ia dilaksanakan, hampir 500 pasangan telah melangsungkan perkahwinan melalui program ini. Kos dapat dijimatkan. Sambutan majlis tetap meriah. Ianya menjadi keunikan yang tersendiri dan kenangan abadi yang tidak mungkin dapat dilupakan pasangan pengantin.

Pokok kepaya tumbuh di bukit,
Buahnya tawar pohon ditebang,
Cintanya saya bukan sedikit,
Racun penawar Dinda seorang.

Program-program kekeluargaan lain yang berkaitan juga banyak dilaksanakan termasuklah Program Pasca Perkahwinan, Program Semarak Kasih dan Forum Perdana Cakna Keluarga. Seramai 4,000 pasangan telah mendapat manfaat daripada program-program ini.

Oleh kerana program-program ini menjadi cerita kejayaan yang sangat baik, dan bagi memperkukuhkan lagi institusi kekeluargaan, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 3 juta ringgit untuk program-program yang tersebut bagi tahun 2018.

Kerajaan Negeri kita juga bersetuju untuk menghulurkan bantuan 1 ribu ringgit bagi setiap ibu atau bapa tunggal yang akan berkahwin. Untuk tujuan itu, 1 juta ringgit lagi akan diperuntukkan dalam Bajet kali ini.

Touchpoint ketiga - Program Jayadiri yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga telah memberi peluang baharu kepada ramai, terutama golongan ibu tunggal dan suri rumah. Ianya berkonsepkan pinjaman perniagaan tanpa faedah, cagaran dan jaminan. Sejak tahun 1995, sejumlah 65.31 juta ringgit pinjaman telah diagihkan kepada 18,285 orang peminjam yang rata-ratanya adalah golongan hawa.

Salah satu cerita kejayaan Program Jayadiri ialah pengusaha Nasi Dagang Atas Tol. Kedai makan milik Puan Rohana binti Yussof yang hanya bermula dengan pinjaman sebanyak 1,500 ringgit pada tahun 2001, kini telah berkembang sehingga memberikan beliau sekeluarga pendapatan yang lumayan.

Malah, ianya cukup dikenali sebagai kedai makan yang menyediakan makanan tradisional selain nasi dagang seperti pulut gaul nyior, yang kerap dicari oleh orang ramai dan para pelancong. Kita ucap tahniah kepada Puan Rohana.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai usahanita khasnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan 2 juta ringgit untuk Program Jayadiri 2018. Pinjaman mudah ini dijangka memberi manfaat kepada 500 orang usahawan.

Touchpoint keempat - Program Saguhati Kelahiran Anak Terengganu ialah sumbangan yang diberi sebagai tabungan untuk anak-anak Terengganu yang baharu lahir. Program ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri sejak tahun 2015.

Alhamdulillah, program yang seumpamanya turut akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di seluruh Negara dan melalui Bajet Negara 2018 baru-baru ini, ia dijenamakan sebagai ADAM50.

Demi kebaikan anak-anak kita, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan Program Saguhati Kelahiran Anak Terengganu ini dengan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit. Ianya akan menambah nilai kepada Program ADAM50.

Touchpoint kelima - Kerajaan Negeri kita sangat prihatin dengan kesejahteraan rakyat khasnya golongan B40. Bagi mengurangkan beban dan sebagai salah satu usaha menangani isu peningkatan kos sara hidup, maka Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Membantu Rakyat (PMR).

Melalui Program ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan kad keahlian untuk 3,666 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tersenarai dalam senarai e-kasih. Penerima kad ini akan mendapat subsidi bagi setiap pembelian barangan keperluan asas di T-Mart dan kedai-kedai terpilih setiap bulan. Sebanyak 2.64 juta ringgit diperuntukkan bagi program ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint keenam - Mutakhir ini, ramai rakyat yang mula berkecimpung dalam dunia perniagaan. Kerajaan Negeri sedar dan bersedia untuk membantu. Bagi memperkasa golongan usahawan, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan 2 juta ringgit melalui Skim Dana Usahawan (SDU) untuk membantu mendapatkan dana menjalankan perniagaan.

Skim ini meliputi pinjaman dalam bentuk Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Skim Pinjaman Usahawan Desa (SPUD), Skim Pinjaman Online Business (SPOB) dan Skim Pinjaman Kecil (SPK).

Kita juga sedar dan mengalu-alukan minat untuk berniaga melalui konsep Food Truck (dengan izin). Malah, Kerajaan Negeri sentiasa melibatkan pengusaha Food Truck dalam pelbagai program.

Melalui pembentangan Bajet Negeri 2018 kali ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan bantuan pinjaman Skim Pembiayaan Food Truck di bawah Skim Pinjaman Tanpa Faedah Al-Ijarah, dengan maksima pinjaman sebanyak 75 ribu ringgit. Skim ini sekaligus dijangka dapat memberi manfaat langsung kepada 135 orang usahawan.

Touchpoint ketujuh - Setiap tahun, Kerajaan Negeri kita akan menghulurkan sumbangan Dana Raya Aidilfitri. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan dan sekaligus merancakkan lagi ekonomi Negeri melalui peningkatan perbelanjaan domestik.

Bilangan penerima adalah besar. Dalam tahun 2017, bilangan Ketua Isi Rumah yang menerima dana ini ialah seramai 240,294 yang menelan belanja 89.09 juta ringgit.

Berita baik untuk tahun 2018 ini, syarat kelayakan untuk pendapatan bagi mereka yang layak menerima Dana Raya Aidilfitri akan dinaikkan daripada 2,500 ringgit kepada 3,000 ringgit.

Dengan kenaikan syarat pendapatan ini, bilangan penerima dianggarkan meningkat kepada 264,294 Ketua Isi Rumah, menjadikan peruntukan keseluruhan Kerajaan Negeri kepada rakyat melalui Dana ini ialah sebanyak 99 juta ringgit.

Touchpoint kelapan - Berita baik untuk orang muda dan golongan remaja, Kerajaan Negeri bersetuju bukan sahaja untuk meneruskan Dana Bakti Remaja bagi tahun 2018, bahkan, memperkasa program ini dengan melonggarkan syarat kelayakan untuk pendapatan mereka yang layak, iaitu daripada pendapatan 1,500 ringgit ke bawah kepada 2,000 ringgit ke bawah.

Dengan menaikkan syarat pendapatan ini, jumlah peruntukan untuk Dana Bakti Remaja akan meningkat daripada 22.7 juta ringgit kepada 27 juta ringgit tahun hadapan. Kerajaan Negeri berharap para penerima akan menggunakan dana yang diberi Kerajaan Negeri dengan baik dan bermanfaat.

Touchpoint kesembilan - Kajian menunjukkan bahawa kanser payudara dan kanser pangkal rahim adalah antara dua pembunuh utama kaum hawa akhir-akhir ini. Sebagai satu manfaat langsung kepada semua wanita, khasnya mereka yang berumur 35 tahun ke atas, Kerajaan Negeri kita bersetuju untuk memperkenalkan Program Pemeriksaan Mamogram dan Pap Smear Percuma.

Program pemeriksaan mamogram dan pap smear ini bertujuan untuk mengesan penyakit dengan awal, supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya pesakit dikesan sebagai positif mengidap penyakit kanser. Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak 500 ribu ringgit bagi tujuan pemeriksaan percuma ini.

Sebagai program yang julung kali diadakan, program pemeriksaan percuma ini akan dilaksanakan secara NBOS dengan melibatkan beberapa agensi Kerajaan Negeri serta kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Penduduk, Keluarga dan Negara (LPPKN).

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-10 - Tabung Darul Iman ialah tabung kebajikan yang diwujudkan untuk membantu golongan yang susah dan terlibat dengan bencana. Tabung ini sememangnya memberi impak yang cukup kuat kepada rakyat terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan dan yang amat memerlukan bantuan.
Secara purata, hampir 5,000 orang pemohon menerima bantuan Tabung Darul Iman setiap tahun. Namun, angka ini kian bertambah. Pendirian Kerajaan Negeri dalam hal ini adalah jelas, iaitu Kerajaan Negeri akan terus membantu dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, walaupun Kerajaan Negeri sendiri berhadapan dengan cabaran dan kekangan kewangan.

Justeru, bagi membantu rakyat yang susah dan menolong mereka yang layak menerima bantuan, sebagaimana yang terkandung dalam syarat-syarat yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan 5 juta ringgit kepada Sekretariat Tabung Darul Iman dalam Bajet 2018.

Ahli-Ahli Yang Berhormat di pihak Kerajaan dan ramai Pegawai serta kakitangan Kerajaan telah membuat potongan gaji untuk Tabung ini. Sekiranya ada dalam kalangan pihak swasta termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), serta Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah sana yang ingin menyumbang atau membuat potongan gaji, ianya amatlah dialu-alukan.

Touchpoint ke-11 - Kerajaan menghargai sumbangan dan peranan para imam dan bilal. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan bayaran khas one-off (dengan izin) sebanyak 1,500 ringgit kepada 1,326 orang yang terdiri daripada 1,260 Imam dan Bilal Masjid Mukim serta 66 Imam dan Bilal Mubaligh.

1,000 ringgit akan dibayar pada bulan Januari 2018 manakala 500 ringgit lagi akan dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri. Jumlah keseluruhan melibatkan peruntukan sebanyak 1.99 juta ringgit.

Selain itu, sebanyak 1,500 ringgit juga akan diberikan kepada Guru Pintar Quran. Cadangan ini bakal memberi manfaat kepada 1,701 orang Guru Pintar Quran dengan peruntukan sebanyak 2.55 juta ringgit.

Touchpoint ke-12 - Bagi menjaga kebajikan semua penerima e-kasih dan juga Imam dan Bilal masjid Kerajaan dan masjid Mukim, Kerajaan dengan ini bersetuju menyediakan Takaful Khairat Kematian. Sebanyak 188 ribu ringgit diperuntukkan bagi tujuan ini yang bakal memberi manfaat kepada 2,261 imam bilal dan 3,666 orang penerima e-kasih.

Touchpoint ke-13 - Bagi membantu jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah, Kerajaan Negeri pada hari ini mengumumkan bantuan one-off sebanyak 500 ringgit kepada 234 orang jurumandi dan 163 orang pembantu jurumandi jenazah.

Ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 198,500 ringgit untuk 397 penerima. Kerajaan Negeri percaya insentif ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang telah melaksanakan tuntutan fardu kifayah.

Touchpoint ke-14 - Industri perkhidmatan air merupakan industri yang berintensif teknologi dan memerlukan modal yang tinggi. Peruntukan yang besar diperlukan bagi menggantikan paip-paip air sedia ada. Banyak yang telah melebihi jangka hayatnya.

Infrastruktur bekalan air yang baharu juga perlu diwujudkan berikutan pertambahan pembukaan kawasan penempatan yang baharu di seluruh Negeri Terengganu.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap komited untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya yang melibatkan bekalan air bersih kepada rakyat. Tarif air di Negeri Terengganu masih lagi sangat rendah, malah adalah yang kedua terendah di Malaysia.

Sehubungan itu, atas dasar prihatin Kerajaan Negeri kepada rakyat, Kerajaan Negeri mengumumkan dua perkara berikut:

Pertama, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 47.88 juta ringgit untuk pembangunan bekalan air dan program pengurangan Non Revenue Water (NRW) (dengan izin).

Dan Kedua, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan bekalan air percuma untuk penggunaan domestik sehingga 20 meter padu sebulan. Bagi tujuan itu, sebanyak 6.3 juta ringgit akan diperuntukkan dengan anggaran manfaat bakal diterima oleh 100 ribu buah kediaman.

Kita berharap rakyat akan tetap menggunakan air dengan bijaksana kerana air adalah merupakan sumber yang terhad.

Touchpoint ke-15 - Untuk golongan mahasiswa, Kerajaan Negeri turut menerima cadangan dan permohonan daripada para mahasiswa anak Terengganu supaya diwujudkan Kad Pelajar yang menyediakan beberapa keistimewaan tertentu.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperkenalkan Kad Generasi Terengganu (Kad Gen-T) untuk para mahasiswa anak Terengganu. Kad ini membolehkan mahasiswa anak Terengganu mendapatkan potongan harga atau diskaun yang tertentu apabila membuat pembelian atau menggunakan perkhidmatan di premis perniagaan, pengangkutan seperti bas ekspres, kedai buku dan lain-lain perniagaan yang terpilih.

Buat permulaan, perniagaan seperti hotel, hospital dan restoran makanan segera milik Kerajaan Negeri akan dilibatkan dalam program ini sebagai rakan Gen-T. Sebanyak 400 ribu ringgit telah diperuntukkan dan dijangka 40 ribu pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima manfaat.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin menggalakkan pihak swasta untuk menyertai program ini kerana bilangan pelajar yang sebegitu ramai ini menyediakan peluang pasaran yang sangat besar untuk perniagaan anda.

Touchpoint ke-16 - Kemudahan kesihatan di Negeri Terengganu adalah sangat baik. Malah, kita sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana melalui Bajet 2018 baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan sejumlah peruntukan untuk mewujudkan Pusat Cardiology dan Cardio-thoracic di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sungguhpun demikian, permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan sentiasa meningkat. Bagi memastikan capaian kepada perkhidmatan kesihatan lebih meluas, dan bagi memudahkan rakyat di kawasan luar bandar mendapatkan perkhidmatan tersebut, maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan Klinik Bergerak atau Mobile Clinic (dengan izin).

Sebagai projek perintis, sebanyak 500 ribu ringgit akan diperuntukkan untuk pembelian ubat-ubatan. Urusan klinik bergerak ini akan diselia oleh Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS).

Touchpoint ke-17 - Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan nasib nelayan. Sebagai satu usaha untuk meningkatkan hasil tangkapan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah bilangan tukun-tukun tiruan.

Sehingga kini, Kerajaan telah membina pelbagai jenis tukun berjumlah 1,352 unit dengan peruntukan 10.8 juta ringgit. Untuk Bajet 2018 kali ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan 250 ribu ringgit bagi pembinaan tukun tiruan dalam usaha meningkatkan sumber ikan di perairan Negeri. Usaha ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah nelayan di Negeri ini.

Touchpoint ke-18 - Bagi melaksanakan Program Peningkatan Ekonomi, Bimbingan Perundangan, Program Pemantapan Keluarga Tunggal dan Sokongan Sosial, dan Program Kesedaran Penjagaan Kesihatan kepada 15 ribu ibu dan bapa tunggal, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan 1 juta ringgit.

Seterusnya Touchpoint ke-19 - Pemandu teksi adalah mereka yang berada di barisan hadapan atau frontliner (dengan izin) industri pelancongan. Mereka kini menghadapi saingan alaf baharu seperti UBER dan GRAB. Musim tengkujuh juga memberi cabaran kerana ketibaan pelancong yang menggunakan perkhidmatan teksi sedikit terjejas.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak 500 ringgit kepada semua Pemandu Teksi yang aktif dan berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Daripada jumlah 500 ringgit itu, sebahagiannya akan dijadikan caruman untuk “Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri” atau Skim Takaful yang dikendalikan di bawah PERKESO. Kerajaan Negeri ingin menjaga kebajikan bukan sahaja para Pemandu Teksi bahkan juga tanggungan mereka masing-masing melalui Skim Takaful yang tersebut.

Faedah yang bakal diperolehi oleh Pemandu Teksi termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara atau Kekal, dan Khairat Kematian. Seramai 817 orang Pemandu teksi dijangka akan mendapat manfaat dari bantuan one-off dan skim takaful ini.

Touchpoint ke-20 - Bagi meringankan beban dan membantu penarik beca serta pengusaha bot penambang, maka Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk meneruskan bantuan bulanan sebanyak 200 ringgit bagi tahun 2018. Sumbangan ini akan memberi manfaat kepada 49 orang penarik beca dan 18 orang pengusaha bot penambang.

Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya bantuan one-off sebanyak 500 ringgit juga diberi kepada pemandu bas henti-henti. Sumbangan ini bakal memberi manfaat kepada 50 orang pemandu bas henti-henti.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

PE-TUNJANG KEDUA :

Meningkatkan Penawaran dan Pengwujudan Peluang PEKERJAAN

Touchpoint ke-21 - Bagi meningkatkan peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri Terengganu telah mewujudkan satu sistem online yang dinamakan JobsTTB.

Program yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri melalui portal ini ialah Terengganu Graduate Transformation Programme (TGTP), bertujuan memberi latihan kepada graduan anak Terengganu yang belum mendapat pekerjaan dan pada masa yang sama boleh menambah pengalaman setelah mengikuti program ini.

Graduan yang mengikuti TGTP akan ditempatkan di syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keyakinan diri dan mendapat pendedahan kepada suasana kerja yang sebenar. Sehingga kini, program perintis telah berjaya membantu seramai 275 graduan.

Untuk tahun 2018, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkasa program ini melalui peruntukan sebanyak 10 juta ringgit yang akan dibiayai bersama di antara Kerajaan Negeri dengan sumbangan daripada Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) serta Badan Korporat. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 1,600 graduan anak Terengganu pada tahun hadapan.

Touchpoint ke-22 - Program Transformasi Ekonomi Terengganu telahpun berjalan. Namun, ianya menghadapi cabaran dari segi pelaksanaannya berikutan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia, pasaran kewangan yang semakin ketat, pendekatan yang lebih berhati-hati yang diambil oleh pelabur dan beberapa faktor lain yang telah turut menjejaskan ekonomi Negeri.

Beberapa Entry Point Project (EPP) (dengan izin) yang telah memulakan kerja awal pembinaan atau dilaksanakan pada tahun 2017 adalah termasuk:

Pertama : Projek Pengeluaran Sarung Tangan Nitrile Butadiene Rubber (NBR). Melibatkan pelaburan sebanyak 970 juta ringgit di Kerteh Bio Polymer Park yang kini dalam proses pembinaan kilang.

Kedua : Projek Tanaman Jagung Untuk Makanan Ternakan. Melibatkan pelaburan 27 juta ringgit dan tanaman secara berperingkat sehingga 500 hektar dalam tahun 2017 di seluruh daerah Negeri Terengganu. Jumlah keluasan tanaman terkini adalah sebanyak 214 ekar di Daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Ketiga : Projek Pengeluaran Baja Bio Daripada Tandan Kelapa Sawit. Melibatkan pelaburan sebanyak 28 juta ringgit. Projek ini telah pun beroperasi di Daerah Setiu.

Dan Keempat : Projek Pengeluaran Gas Bio Methane bagi penjanaan tenaga elektrik melibatkan pelaburan sebanyak 14 juta ringgit di Daerah Kemaman dan kerja-kerja pembinaan kilang sedang berjalan.

Keempat-empat EPP ini akan menawarkan 4,310 peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu.

Touchpoint ke-23 - Kerajaan Negeri Terengganu bergerak seiringan dengan Kerajaan Persekutuan yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi digital yang inovatif. Ekonomi digital dijangka memberi sumbangan melebihi 20% kepada KDNK Negara pada tahun 2020.

Justeru, melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil tindakan proaktif dengan rancangan untuk membangunkan Hub Digital Kuala Terengganu sebagai Program Memperkasa Bandar Keusahawanan Lautan Biru (Blue Ocean Entrepreneur Township) atau BOETs. Hub ini akan menjadi hub kreativiti dan inovasi kepada kelompok usahawan muda Terengganu, seterusnya menggalakkan mereka menjalin kerjasama dan rangkaian niaga.

Hub Digital Terengganu mensasarkan penyediaan prasarana dan ekosistem yang komprehensif dengan kemudahan Co Working Space (dengan izin), pelaksanaan program start up dan Entrepreneur Grooming (dengan izin). Projek ini dibangunkan dalam dua (2) fasa dengan keluasan lantai seluas lebih 200 ribu kaki persegi di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu. Bagi fasa pertama kos yang terlibat ialah sebanyak 12 juta ringgit.
Hub Digital Terengganu juga akan menjadi pemangkin kepada usaha mewujudkan perniagaan secara talian melalui Program E-Usahawan dan E-Dagang. Ianya dijangka memberi peluang kepada 525 usahawan.

Touchpoint ke-24 - Taman Teknologi Terengganu (TTT) yang berasaskan kepada Revolusi Perindustrian Keempat akan dibangunkan di atas tanah seluas 2,000 ekar di Kg. Telaga Papan, Daerah Setiu.
TTT akan menjadi Regional Growth Digital Centre di Pantai Timur yang memberi keutamaan kepada Industri Kandungan, Komunikasi, Infrastruktur & Teknologi Baharu.

TTT dirancang dengan teliti dalam persekitaran biodiversiti Tanah Bencah Setiu, kawasan berpantai, sungai dengan berlatar belakang pulau-pulau peranginan dan tasik. Kedudukannya yang berdekatan dengan rancangan pembinaan stesen ECRL di Telaga Papan, akan menambah nilai dan daya tarikan taman teknologi ini.

Pelaksanaan projek ini adalah strategi penting dalam merealisasikan keseimbangan pembangunan antara wilayah yang menjadi teras Rancangan Malaysia Kesebelas. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit dan dijangka dapat mewujudkan 10 ribu peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-25 - Kerajaan Negeri sekali lagi merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana bersetuju meluluskan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL). Projek ini melibatkan jajaran utama sepanjang 524.4 kilometer dan jajaran sisihan sepanjang 75.9 kilometer.

Jajaran ini akan bermula dari Gombak, Selangor sehingga ke Kota Bharu, Kelantan dan melalui Negeri Terengganu dengan kos sebanyak 55 bilion ringgit. Jajaran di Negeri Terengganu sahaja akan melibatkan jarak sepanjang 229.6 kilometer. Sepanjang jajaran tersebut, terdapat tujuh (7) stesen iaitu Stesen Cukai, Stesen Kemasik, Stesen Dungun, Stesen Pengkalan Berangan, Stesen Kuala Terengganu, Stesen Permaisuri dan Stesen Kota Putera.

Mengambil contoh projek MRT Kajang ke Sungai Buloh yang menjadi ikon cerita kejayaan, pembinaan stesen-stesen ini secara langsung dan tidak langsung akan meningkatkan lagi pembangunan di kawasan sekitar dan dalam masa sama mewujudkan ribuan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Kita harus sama-sama bersyukur kerana hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sangatlah baik. Satu lagi manifestasi hasil hubungan yang sangat baik ini ialah pengenalan Program MySuria.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah memperkenalkan Program MySuria. Sebanyak 45 juta ringgit diperuntukkan untuk golongan sasaran B40. Program MySuria ini adalah projek pemasangan Panel Solar ke atas 1,600 buah rumah kelompok B40. Setiap peserta program akan menerima pendapatan anggaran sebanyak 250 ringgit sebulan. Seramai 200 orang peserta telah dikenalpasti untuk mengikuti program peringkat Fasa Pertama.

Touchpoint ke-26 - Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Transformasi Belia Niaga (TBN) padatahun 2018 bagi membantu belia membina masa hadapan melalui kerjaya keusahawanan. Sebanyak 1.2 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)untuk melaksanakan program ini dengan sasaran untuk melahirkan seramai 100 usahawan belia.

TBN dilaksanakan melalui kolaborasi secara NBOS bersama semua agensi yang terlibat dengan keusahawanan termasuk latihan, khidmat nasihat dan pinjaman. Peserta akan diberi geran perniagaan sebanyak 10 ribu ringgit setiap seorang selepas tamat latihan keusahawanan.

Touchpoint ke-27 - Program Pengurus Kediaman atau Home Manager yang dilaksanakan telah membantu menangani masalah kebergantungan kepada pekerja asing sebagai pembantu rumah. Malah program ini adalah satu lagi contoh cerita kejayaan Terengganu kerana ia membantu golongan miskin dan ibu tunggal khasnya, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan masing-masing.

Sejak tahun 2015, seramai 113 Pengurus Kediaman masih lagi berkhidmat melalui program ini. Bagi memperkasa Program Home Manager ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 150 orang Pengurus Kediaman.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

PE-TUNJANG KETIGA :

Mengisi Keperluan PERUMAHAN Rakyat

Touchpoint ke-28 - Perumahan adalah keperluan besar dalam kalangan rakyat, terutama yang tergolong dalam kelompok B40 dan M40.

Bagi memenuhi keperluan perumahan golongan nelayan, Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) akan dilaksanakan di Daerah Kemaman, Besut dan Setiu. Projek ini adalah usahasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Untuk tujuan itu, 13 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tahun 2018 dan seramai 200 keluarga nelayan berdaftar dijangka bakal menerima manfaat daripada projek ini.

Touchpoint ke-29 - Sejak tahun 2010, lebih daripada 30 ribu keluarga telah menikmati kemudahan perumahan yang mana sebanyak 12,566 buah unit rumah telah dibina di bawah Program Perumahan Mampu Milik. Sejumlah 8,357 buah rumah dibina di bawah inisiatif Kerajaan Negeri manakala bakinya oleh pihak swasta. Melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kerajaan Negeri telah membina dan membaik pulih lebih daripada 18,000 unit rumah.

Program PPRT ini akan dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Terengganuku Sayang (PPTS). Kerajaan Negeri akan meneruskan PPTS ini termasuk memberi tumpuan kepada golongan OKU dengan memperuntukkan sebanyak 32 juta ringgit lagi bagi tahun 2018.

Touchpoint ke-30 - 800 unit rumah bakal dibina untuk golongan B40 di bawah Program My Terengganu Beautiful New Home (MyTBNHome) dengan anggaran kos sebanyak 40 ribu ringgit seunit.

Daripada jumlah ini, 20 ribu ringgit akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri manakala 20 ribu ringgit lagi melalui pinjaman. Projek ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak 32 juta ringgit dengan menggunakan kaedah pembinaan Sistem HyperBIM.
Touchpoint ke-31 - Melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, beberapa lagi projek perumahan untuk rakyat akan dilaksanakan. Antaranya adalah:

Pertama - Program My Beautiful New Home (MyBNHome). Pelaksanaan program ini adalah khusus untuk golongan B40. Sebagai permulaan, sebanyak 50 unit rumah akan dilaksanakan dengan segera di Kampung Mak Kemas, Bukit Payung, Marang di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 6 ekar dengan melibatkan peruntukan sebanyak 2 juta ringgit. Dan Kedua - Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M). Tambahan sebanyak 2,538 unit rumah lagi akan dibina melalui projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di seluruh Negeri.

Touchpoint ke-32 - Sebanyak 3,085 unit Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina di seluruh Negeri sekaligus memberi manfaat kepada golongan B40 berpendapatan isi rumah sebanyak 3,500 ringgit ke bawah.

Pembinaan rumah-rumah ini akan bermula pada tahun 2018 dan dijangka siap pada tahun 2020. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak 400 juta ringgit.

Touchpoint ke-33 - Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah Tabung Perumahan bagi memberi kemudahan kepada rakyat membuat pinjaman tanpa faedah sehingga maksima 40 ribu ringgit. Sebanyak 30 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tabung ini.

Seterusnya Touchpoint ke-34 - Bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan, masih belum mempunyai tanah sendiri serta memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan, satu skim yang dipanggil Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (Tapak Rumah) telah diperkenalkan. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menawarkan 5,939 lot tanah untuk diagihkan kepada mereka yang layak, dengan bilangan pemohon seramai 41,376 orang. Proses temuduga sedang dijalankan bagi mengenalpasti penerima yang layak.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Kerajaan sangat cakna dengan keperluan perumahan untuk rakyat. Di sebalik pelbagai rancangan untuk mengisi keperluan tersebut, saya ingin memohon kerjasama semua pihak agar tidak menyalahgunakan kemudahan yang diterima.

Rumah-rumah di bawah skim perumahan Kerajaan adalah untuk dijadikan sebagai kediaman penerima dan bukanlah aset untuk disewa.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

PE-TUNJANG KEEMPAT :

Mendukung PEMBANGUNAN yang bersifat inklusif dan berpaksikan rakyat (rakyat - centric) (dengan izin)

Touchpoint ke-35 - Pembelajaran Atas Talian adalah satu program tambah nilai dalam pembelajaran bagi melengkapkan pelajar dengan asas ICT dan memberi kemudahan kepada pelajar mengulangkaji pelajaran tanpa had waktu dan tempat.

Satu program perintis yang dinamakan Program V-Class (Virtual Class) (dengan izin) akan dilaksanakan dengan jangkaan manfaat seramai 50 ribu pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Negeri Terengganu. Sebanyak 300 ribu ringgit akan diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini.

Touchpoint ke-36 - Kerajaan Negeri sangat berterima kasih kepada PIBG sekolah-sekolah kerana berperanan membantu kecemerlangan pendidikan anak-anak kita di Negeri Terengganu.

Bagi meneruskan kecemerlangan pendidikan Terengganu, Program Memperkasa PIBG (PMP) akan dilaksanakan melalui peruntukan one-off kepada setiap PIBG iaitu sebanyak 2 ribu ringgit.

1.01 juta ringgit akan disediakan bagi tujuan ini yang akan melibatkan 505 buah PIBG seluruh Negeri Terengganu. Sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat kepada setiap PIBG dalam merangka dan merancang aktiviti masing-masing.

Seterusnya Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Program Penarafan Bintang PIBG (Star Rating) (dengan izin). Peruntukan sebanyak 50 ribu ringgit akan disediakan bagi penyediaan indikator khas bagi program ini yang akan dimulakan di beberapa PIBG sebagai program perintis.

Touchpoint ke-37 - Bagi memastikan persatuan belia di Negeri Terengganu sentiasa bergerak aktif, Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan Program Memperkasa Persatuan Belia (PMPB). Sebanyak 5 ribu ringgit akan disumbang kepada hampir 450 persatuan belia yang aktif dan berdaftar. Sejumlah 2.25 juta ringgit diperuntukkan bagi tujuan ini.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya dibuat Penarafan Bintang (Star Rating) (dengan izin) terhadap persatuan belia. Peruntukan sebanyak 50 ribu ringgit disediakan bagi penyediaan indikator khas Star Rating ini. Sebagai permulaan, beberapa persatuan akan dipilih untuk program perintis.

Touchpoint ke-38 - Warga Emas juga merupakan aset penting kepada Negeri kerana mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang tidak mudah dicari ganti. Kerajaan Negeri bercadang untuk menyiapkan pembinaan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas Negeri Terengganu di Daerah Kuala Nerus dengan kos sekitar 6 juta ringgit sekaligus memberi manfaat kepada 4 ribu orang warga emas.

Touchpoint ke-39 - Kita berasa sangat hiba dan sedih dengan tragedi kebakaran yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini. Saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Bagi menyediakan bantuan seperti peralatan keselamatan kebakaran, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 126 ribu ringgit untuk disumbangkan kepada pusat-pusat tahfiz yang berdaftar di Negeri Terengganu.

Touchpoint ke-40 - Negeri Terengganu Darul Iman dikenali sebagai Negeri yang menghasilkan ramai Qari dan Qariah yang mempunyai bacaan Al-Quran yang sangat bermutu tinggi.

Nama-nama seperti Dato’ Hajjah Rogayah dan Haji Daud Che Man suatu ketika dahulu, dan kini Ahmad Tarmizi Ali, berjaya menempa kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah terbaik, Kerajaan Negeri mencadangkan Program Pembelajaran Ilmu Tajwid dan Taranum. Peruntukan awal sebanyak 140 ribu ringgit disediakan untuk tujuan tersebut.

Touchpoint ke-41 - Kerajaan Negeri terus komited untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran. Alhamdulillah, pada tahun ini seramai 8,703 murid pra sekolah dan seramai 15 ribu murid KAFA telah berjaya khatam Al-Quran.

Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Pintar Quran ini dengan memperuntukkan sebanyak 1 juta ringgit dalam Bajet kali ini.

Touchpoint ke-42 - Negeri Terengganu mempunyai sejarah yang sarat dengan tradisi keilmuan. Bagi memelihara dan memperluaskan tradisi ini kepada generasi pewaris, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan sebuah yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Tok Ku Paloh. Sebagai permulaan, sebanyak 1 juta ringgit akan diperuntukkan melalui sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

Touchpoint ke-43 - J3K adalah nadi Kerajaan di peringkat akar umbi. Peranannya sangat besar dalam memastikan hasrat dan amanat Kerajaan benar-benar sampai ke peringkat yang paling asas dalam masyarakat.

Bagi menjayakan agenda memperkasa J3K, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan bantuan pengurusan one-off (dengan izin) sebanyak 5 ribu ringgit kepada setiap J3K di Negeri Terengganu. Bantuan ini akan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak 5.27 juta ringgit.

Seterusnya Touchpoint ke-44 - Kerajaan Negeri ada menerima cadangan daripada penggiat pelancong dan pengusaha bot supaya dianjurkan kursus untuk pemandu bot. Ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pelancong di kawasan-kawasan pelancongan seperti di Tasik Kenyir dan pulau peranginan Terengganu.

Cadangan ini mungkin dilihat kecil tetapi ianya baik untuk mengukuhkan kepercayaan pelancong terhadap tahap keselamatan perkhidmatan bot yang ditawarkan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan 100 ribu ringgit bagi melaksanakan Program Bimbingan dan Kursus Kelayakan Untuk Pemandu Bot.

Touchpoint ke-45 - Terdapat minat yang tinggi dalam kalangan rakyat untuk menyertai program-program kesihatan seperti Fun Run, Fun Ride (dengan izin) dan Senamrobik di setiap daerah. Ini adalah trend yang baik untuk diamalkan.

Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan rakyat dalam aktiviti sihat sebegini, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit. Diharap lebih banyak program seumpama ini dapat diadakan di seluruh daerah di Negeri Terengganu.

Touchpoint ke-46 - Kerajaan Negeri berasa bangga dengan pencapaian atlet dan penggiat sukan Negeri Terengganu. Banyak pencapaian yang telah diraih di peringkat kebangsaan, Asia malah di peringkat dunia.

Tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, dan Sumber Manusia Negeri kerana berjaya menobatkan Negeri Terengganu sebagai gergasi sukan Negara.

Tahun 2018 adalah tahun Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Negeri Perak Darul Ridzuan. Bagi memastikan kejayaan kita dalam SUKMA edisi seterusnya nanti, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 8.7 juta ringgit melalui Bajet kali ini untuk melaksanakan pelbagai persiapan termasuk latihan intensif dan mengadakan sparring (dengan izin) bersama pasukan kebangsaan.

Touchpoint ke-47 - Bagi meraikan dan menghargai kejayaan atlet sukan sehingga mengharumkan nama Negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan 1 juta ringgit untuk Anugerah Kecemerlangan Sukan.

Touchpoint ke-48 - Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membina Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu berdekatan Mini Stadium, Kompleks Sukan Gong Badak dengan kos keseluruhan sebanyak 100 juta ringgit.

Bangunan yang mempunyai 2 blok menara 6 tingkat ini mempunyai 60 unit asrama yang dapat menampung seramai 650 atlet pada satu-satu masa.

Dengan adanya asrama ini, pihak Kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri dapat melaksanakan perancangan pembangunan sukan dengan lebih baik dengan kos pembangunan sukan yang berkurangan.

Touchpoint ke-49 - Kerajaan Negeri juga bersetuju mencadangkan peruntukan untuk membaiki dan menaiktaraf semua gelanggang futsal di bawah Kerajaan Negeri yang melibatkan semua gelanggang futsal di 32 DUN. Sebanyak 2 juta ringgit akan diperuntukkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Selain bidang sukan, bidang pendidikan juga adalah satu lagi cerita kejayaan buat Negeri kita. Sekali lagi kita ucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga pendidik, para guru, kakitangan Jabatan Pendidikan di seluruh Negeri, dan pihak PIBG kerana tahun 2017 adalah tahun yang penuh dengan kecemerlangan akademik dan bukan akademik.

Touchpoint ke-50 - Bagi meneruskan kecemerlangan anak-anak kita dalam bidang pendidikan ini, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit, yang mana 2 juta adalah daripada Kerajaan Negeri dan 3 juta ringgit lagi disumbangkan oleh Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

Peruntukan ini akan digunakan untuk pelaksanaan aktiviti kecemerlangan di peringkat Negeri, daerah dan sekolah melibatkan kelas bimbingan, tutorial dan akademik serta motivasi yang dianjurkan menjelang peperiksaan bagi menaikkan semangat dan jati diri pelajar menghadapi peperiksaan awam.

Peruntukan ini juga akan diguna pakai untuk pelaksanaan program celik jawi. Pada masa yang sama, langkah mengetatkan penguatkuasaan untuk mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada semua papan tanda dan papan iklan akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memartabatkan lagi tulisan jawi.

Touchpoint ke-51 - Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon UPSR, para ibu bapa, para pegawai dan kakitangan JPNT dan teristimewa, para guru. Ini adalah kerana Terengganu sekali lagi telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam Peperiksaan UPSR tahun ini. 560 orang pelajar telah mendapat 6A berbanding 271 tahun lepas, peningkatan yang sangat hebat. Tahniah dan Syabas!

Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk meneruskan pemberian hadiah galakan sebanyak 500 ringgit seorang melalui Skim SSPN-i kepada semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan-peperiksaan awam Malaysia iaitu UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM. Semoga Negeri Terengganu terus unggul dalam bidang pendidikan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-52 - Pelaksanaan Visit Beautiful Terengganu 2017 telah berjalan dengan sangat baik. Usaha untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai alternatif baharu kepada sektor minyak dan gas mungkin memakan masa, tetapi usaha ke arah itu sedang dilaksanakan dan mula menampakkan hasil.

Bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan sebagai sektor alternatif dalam menjana ekonomi Negeri, sejumlah 80 juta ringgit akan disediakan bagi pembangunan sektor ini.

Kerajaan Negeri juga telah melantik PEMANDU Associates untuk melaksanakan Pelan Induk Pelancongan Terengganu. Melalui pelan ini, adalah diharapkan sektor pelancongan mampu memberi kesan berganda sebanyak tiga (3) kali terhadap pembangunan ekonomi dan 2.5 kali ganda dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha membangunkan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai dan destinasi Eko-Pelancongan. Daripada keseluruhan peruntukan pembangunan pelancongan Negeri bagi tahun 2018, sebanyak 54.5 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan projek-projek sedia ada dan baharu di Tasik Kenyir. Untuk memenuhi keperluan pelancong ke Tasik Kenyir, Kerajaan Negeri telah membangunkan Hotel Kerajaan di Pulau Poh, Tasik Kenyir dan dijangka siap pada Ogos, 2018.

Isu kebersihan yang berkait rapat dengan sektor pelancongan, turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Ekoran kejayaan menjaga tahap kebersihan di kawasan bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Perbandaran Kemaman telah terpilih untuk menyertai ASEAN Clean Tourist City yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Bagi menjalankan kerja-kerja kebersihan di seluruh Negeri Terengganu, sebanyak 50 juta ringgit disediakan dalam Bajet kali ini.

Touchpoint ke-53 - Saban tahun, bilangan pesakit yang mengalami masalah buah pinggang kian meningkat. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan tiga (3) buah Pusat Hemodialisis di Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus. Peruntukan sebanyak 6 juta ringgit disediakan bagi memastikan ketiga-tiga Pusat Hemodialisis ini dapat digunapakai untuk manfaat hampir seribu pesakit setiap tahun.

Touchpoint ke-54 - Kerajaan Negeri akan melancarkan perkhidmatan MyBAS KT yang dikendalikan oleh SPAD. Mara Liner akan menjadi operator perkhidmatan ini. Fokus akan diberikan kepada penyediaan perkhidmatan bas di kawasan-kawasan yang laluannya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan tumpuan pelancongan. Kerajaan Negeri berharap sistem pengangkutan awam ini dapat membantu dan memudahkan rakyat menjalani urusan mereka.

Touchpoint ke-55 - Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah kepada Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana berjaya mengurangkan kadar jenayah di Negeri Terengganu.

Bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di Bandaraya Kuala Terengganu sebagai sebuah ibu negeri, Kerajaan bercadang untuk mewujudkan konsep Bandar Selamat. Untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak 2 juta ringgit akan disediakan untuk menambah bilangan dan menyelenggara CCTV yang sedia ada.

Masalah gejala sosial harus kita tangani secara bersama dan diuruskan di peringkat awal remaja. Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit untuk menjayakan beberapa program meningkatkan sahsiah remaja seperti Program Saya Anak Terengganu Taklif, Program Ingat Sebelum Terkena dan Program Peningkatan Potensi Diri. Seramai 10 ribu remaja dijangka akan menerima manfaat daripada program-program ini.

Touchpoint ke-56 - Kerajaan Negeri juga turut istiqamah untuk memperluaskan liputan capaian Terengganu Wi-Fi. Selaras dengan kejayaan penyediaan 537 hotspot (dengan izin) di Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Setiu pada tahun 2017, maka pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan melengkapkan kemudahan ini di Daerah Dungun dan Kemaman dengan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-57 - Sektor Pertanian akan terus diberi tumpuan dalam usaha Kerajaan menjamin bekalan makanan, meningkatkan pendapatan golongan yang terlibat serta mewujudkan peluang pekerjaan. Komponen tradisi sektor ini iaitu pertanian, penternakan dan perikanan terus diberi nafas baharu bagi meningkatkan pengeluaran dengan pendekatan menggunakan teknologi pembangunan pemprosesan, penyelidikan dan integrasi.

Perancangan dalam sektor pertanian juga memberi tumpuan kepada projek yang memberi impak terus kepada golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 23.77 juta ringgit.

Projek Khas Pertanian bagi tahun 2018 diteruskan dengan Projek Terengganu Golden Corn (TGC) yang telah diperkenalkan hasil usaha Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. Pihak Jabatan telah mengenalpasti sejenis varieti jagung yang unik dan ianya bakal menjadi salah satu Produk Ikon Negeri yang baharu. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit.

Kerajaan Negeri memperuntukkan 2 juta ringgit bagi melaksanakan program-program Transformasi Pertanian Terengganu (TPT) dengan pengenalan Program Peningkatan Kualiti Madu, Program Bantuan Input Pertanian, Program Pertanian Bandar, Perikanan dan Ternakan serta Program Latihan Belia Tani.

Touchpoint ke-58 - Sehingga Oktober 2017, Program Madu Ole-Ole Terengganu yang disertai seramai 196 pengusaha madu telah mencatatkan peningkatan mendadak nilai pengeluaran sebanyak 3.5 juta ringgit berbanding 1.5 juta ringgit pada tahun 2016.

Bagi membantu para penternak madu meningkatkan jualan, maka Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 500 ribu ringgit untuk memastikan ketulenan madu terjamin dengan pembelian peralatan berteknologi tinggi di samping aktiviti pemasaran dan penjenamaan. Program ini akan memberi manfaat kepada 200 orang pengusaha madu.

Buah duku, dokong dan rambutan adalah di antara buah-buahan tempatan yang sering mengalami kadar harga yang tidak menentu. Kaedah penstabilan harga akan dilaksanakan menerusi pembelian terus daripada petani serta memperbanyakkan kempen promosi buah-buahan tempatan dan engagement (dengan izin) dengan pihak perhotelan.

Kerajaan Negeri juga telah menerima permintaan daripada penternak-penternak ikan air tawar, khasnya mereka yang mengusahakan ikan tilapia merah atau “Red Kenyir”. Bagi menyokong aktiviti penternakan ikan ini, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan 50 ribu ringgit untuk pembelian boya bagi mengelakkan houseboat (dengan izin) memasuki kawasan ternakan ikan khasnya di Sungai Como dan Pantai Ali. Kecil bagi kita, tetapi saya percaya, besar bagi para penternak ikan ini.

Untuk membantu para nelayan pantai meningkatkan hasil tangkapan, peruntukan sebanyak 800 ribu ringgit disediakan bagi pembelian peralatan yang dapat memudahkan mereka mencari rezeki.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedar akan perlunya penyelesaian jangka panjang untuk menangani masalah muara sungai dan pelabuhan perikanan yang cetek. Untuk itu, peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit disediakan sebagai usaha awal untuk mendapatkan dan melaksanakan kaedah terbaik jalan penyelesaian masalah tersebut.

Touchpoint ke-59 - Bagi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu sistem yang dapat memudahkan dan memendekkan masa bagi memproses permohonan projek pembangunan. Di bawah seliaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Bahagian Pembangunan Maklumat Negeri (BPMN), sistem atas talian yang dikenali sebagai MySPP akan disebarluaskan. Sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa sistem MySPP ini boleh digunakan sepenuhnya mulai Februari 2018.

Dan akhir sekali, Touchpoint ke-60 - Bagi menghargai perkhidmatan yang telah disumbangkan oleh penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju memberi bonus sebanyak 1,500 ringgit kepada penjawat awam Negeri. Daripada jumlah ini, 1,000 ringgit akan diberikan pada bulan Januari 2018, manakala baki 500 ringgit lagi akan diberikan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Atas dasar cakna pihak Kerajaan kepada penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju memperluaskan bayaran bonus ini kepada semua kakitangan termasuk kakitangan sementara tanpa perjawatan, kontrak dan ad hoc (dengan izin). Bilangan yang bakal mendapat manfaat ini ialah seramai 12,756 orang dengan peruntukan sebanyak 19.13 juta ringgit.

Sebagai apresiasi kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah bilangan penerima bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dengan melibatkan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

MASA HADAPAN YANG LESTARI

Baju baru kain bertekat,
Baju belah pakai kerongsang,
Bersatu padu kuat seikat,
Kalau berpecah, dimakan orang.

Bertemakan “Masa Hadapan Yang Lestari”, Bajet kali ini dipandu oleh 4 PE-TUNJANG. Kerajaan Negeri telah menyenaraikan 60 touchpoints atau perkara-perkara titik sentuhan yang dianggap utama oleh rakyat dan perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera oleh Kerajaan.

Bagi memastikan pelaksanaan Bajet 2018 benar benar sampai dan menyentuh rakyat yang paling memerlukan bantuan, saya ingin mengumumkan penubuhan satu task force (dengan izin) yang akan menyelaras dan memantau pelaksanaan semua 60 touchpoints tersebut.

Task force ini akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan melibatkan para pegawai dan juga pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Tegasnya, touchpoints ini harus benar-benar mendatangkan impak kepada kelompok rakyat yang disasarkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Saya telah memberikan intipati kepada Bajet Negeri 2018. Saya telah menghuraikan proses penyediaan Bajet yang mengambilkira pendapat dan maklumbalas orang ramai.

Ya, benar. Bajet pada kali ini memberi fokus kepada perkara yang mungkin dianggap kecil bagi sebilangan daripada kita. Soal nasi dagang disentuh. Begitu juga soal perkahwinan perdana, manfaat untuk penarik beca, pemandu bas, pemandu teksi, PIBG, ibu tunggal, golongan OKU, imam bilal, golongan nelayan, pemandu bot penambang, jurumandi jenazah, Qari dan Qariah, pengusaha madu, pesakit buah pinggang, warga emas, golongan mahasiswa, golongan miskin dalam senarai e-kasih dan usahawan kecil.

Tegasnya, Bajet ini adalah Bajet untuk mereka.
Kita tidak bercakap soal yang terlalu tinggi melangit sedangkan ia mungkin tidak berpijak di bumi yang nyata. Sebaliknya, kita bercakap mengenai perkara asas, memberi lebih fokus kepada apa yang penting buat rakyat.

Isu menangani peningkatan kos sara hidup, isu peluang pekerjaan dan isu perumahan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Mungkin kecil bagi kita, tetapi saya percaya, besar maknanya kepada rakyat.

Apapun kita tidak lupa tentang isu besar yang melibatkan Kerajaan Negeri. Antaranya, isu Dana Khas Kerajaan Persekutuan, isu Bertam, tidak sesekali dilupakan. Namun, isu-isu yang lebih menyentuh hati rakyat diberi keutamaan dalam Bajet kali ini.

Bajet 2018 juga ialah pembentangan Bajet yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada Pilihanraya Umum yang ke-14. Kepada semua rakyat jelata, sekali lagi saya ingin nyatakan bahawa saya dan rakan-rakan dalam Barisan Kerajaan, sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk kebaikan rakyat.
Terserah kepada rakyat untuk menilai dan membuat pertimbangan terbaik.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Kerajaan, khasnya Pasukan Bajet 2018 dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri. Terima kasih di atas usaha kalian yang bertungkus lumus menyediakan Bajet 2018 ini.

Bajet ini adalah Bajet kita bersama. Kerana kita yang merangkanya secara bersama.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah, Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam semesta. Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau mengambil semula kekuasaan itu dari sesiapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghina siapa yang Engkau mahu. Di tangan-Mu (Ya Allah), segala kebaikan dan kekayaan” (Surah Aali Imraan, ayat 26)

Di awal pembentangan Bajet ini tadi, saya ada menyebutkan bahawa Negeri Terengganu Darul Iman ibarat peribahasa Melayu, air jernih, ikannya jinak. Negeri yang aman dan teratur. Rakyatnya juga berbudi bahasa.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga air yang jernih, tidak dikeruhkan dan ikan yang jinak, tidak pula diliarkan. Kerana Negeri Terengganu ini sebenarnya, Molek Doh.

Terengganu…Molek Doh!
Terengganu…Molek Doh!
Terengganu…Molek Doh!

Kepada Allah jua saya berserah.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Saya mohon mencadangkan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: