Monday, 11 December 2017

Bajet 2018 : RM1.996 Bilion Untuk Terengganu

SHARE
Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM1.996 bilion untuk Bajet 2018 yang bertemakan 'Masa Hadapan Yang Lestari'.

Pada pembentangan bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 itu, Terengganu menganggarkan hasil sebanyak RM1.815 bilion sekali gus menjadikanya sebagai bajet defisit iaitu sebanyak 10 peratus (RM181 juta).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi bajet tahun depan, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.996 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus, diikuti RM823.43 juta untuk pembangunan dan RM3.77 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Katanya, daripada bajet berkenaan, pendapatan daripada kategori hasil cukai adalah sebanyak RM66.42 juta, hasil bukan cukai pula sebanyak RM203.93 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.544 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 84.95 peratus adalah daripada pemberian Kerajaan Pusat.

“Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM94.6 juta ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.901 bilion ringgit untuk perbelanjaan bekalan.

“Sementara perbelanjaan bekalan pula berjumlah RM286.65 juta untuk emolumen, RM202.34 juta pula untuk perkhidmatan dan bekalan, aset (RM23.72 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM1.387 bilion) termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM550 juta ringgit dan RM1.16 juta untuk lain-lain perbelanjaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2018 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Razif berkata, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM230 juta adalah bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, manakala  RM149.6 juta bagi pemberian kepada pelbagai agensi dan kumpulan wang.

Katanya, perbelanjaan bagi pemberian kepada pejabat daerah (RM29.97 juta), bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pula (RM57.22 juta) dan pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32 - Pelbagai Perkhidmatan (RM353.18 juta) dan belanja lain-lain (RM17.56 juta).

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kepimpinan negara sebenarnya merangka dan menyusun segala dasar berpandukan kerangka Maqasid Syariah ini.

“Kerangka ini menyentuh tentang kepentingan menjaga kemaslahatan umat seperti keperluan-keperluan asas yang paling utama, kemudahan tertentu bagi mengelakkan kesukaran dan kesempitan serta keperluan lainnya yang menyumbang ke arah kesempurnaan hidup.

“Malaysia berjaya kerana kita bijaksana dalam mengutamakan yang utama dan matang dalam mengurus kehendak kelompok masyarakat yang pelbagai,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendirian, Bajet Negeri 2018 juga haruslah memberi keutamaan kepada yang utama dan segera iaitu keperluan-keperluan dan kemudahan tertentu untuk rakyat, bagi mengurangkan bebanan dan yang menyumbang ke arah kesejahteraan kehidupan rakyat.
-www.terengganu.news
SHARE

Author: verified_user

0 komen: