Monday, 11 December 2017

Bajet 2018 : Pendapatan Bulanan Isi Rumah Meningkat

SHARE



Pertumbuhan ekonomi Terengganu berada dalam keadaan  bertambah baik  dan terus positif serta meningkat kepada 3.8 peratus  pada  tahun ini berbanding 3.1 peratus  pada 2016.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peningkatan tersebut adalah berdasarkan pemulihan ekonomi global dan pertumbuhan ekonomi negara yang didorong oleh permintaan domestik dan pelaburan swasta, di samping pasaran buruh negara yang stabil.

Katanya, harga petroleum di pasaran dunia juga dalam trend meningkat sepanjang enam bulan kebelakangan ini.

"Kita (kerajaan negeri) mengharapkan  harga petroleum akan terus meningkat dalam tahun 2018, sekaligus dapat membantu kerajaan negeri merangka dasar dan program kesejahteraan rakyat dengan lebih selesa’

"Semua sektor ekonomi dijangka mencatatkan peningkatan pada tahun 2017. Data-data terbaharu yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia dan kajian yang dibuat oleh pakar ekonomi iaitu Tan Sri Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali, turut menemukan beberapa perkara," katanya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Razif berkata, sehubungan itu, pendapatan bulanan isi rumah pertengahan 2016 atau Median Monthly Household Income untuk negeri Terengganu telah meningkat.

“Peningkatan negeri melebihi purata kebangsaan pada 2014 dan yang paling tinggi berbanding sembilan negeri lain.

Peratusan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi di Negeri Terengganu ialah pada tahap 30 peratus. Ini satu aset yang besar dan angka ini melebihi dan berkembang lebih cepat daripada purata di peringkat nasional iaitu 28 peratus,” katanya

Menurutnya, agihan pendapatan dalam kalangan penduduk di satu daerah, adalah hampir seimbang di setiap daerah . Pendapatan isi rumah bulanan purata juga dijangka meningkat kepada RM 6,411 pada 2017 berbanding RM 5,776 pada tahun lalu.

Manakala bilangan peluang pekerjaan yang ditawarkan sepanjang tempoh 2014 sehingga 2017 mencecah angka lebih 27,000 kekosongan yang mana merangkumi 25,000 kekosongan di pihak swasta dan 2,284 kekosongan dalam perkhidmatan awam negeri, badan-badan berkanun negeri, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri dan universiti awam, katanya.

Katanya,  dalam aspek usaha membasmi kemiskinan sehingga Disember tahun ini, Terengganu adalah negeri yang kedua tertinggi berjaya mengeluarkan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kelompok miskin tegar mengikut senarai e-kasih iaitu seramai 48,940 KIR.

“Terengganu juga adalah salah satu di antara dua buah negeri di Malaysia yang tidak lagi mempunyai KIR yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

“Selain itu juga, jumlah bilangan jemaah haji dari Negeri Terengganu yang mengerjakan badat haji ke Mekah bertambah setiap tahun iaitu 621 jemaah pada tahun 2014, 832 jemaah pada tahun 2015, 1,327 jemaah pada tahun 2016 dan 3,609 jemaah pada tahun ini,” katanya.

-www.terengganu.news

SHARE

Author: verified_user

0 komen: