Wednesday, 13 December 2017

Bajet 2018 : Gen Z Diutamakan Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

SHARE
YB A.Latiff Awang

Kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada Generasi Z selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

YB A.Latiff Awang (BN-Pengkalan Berangan) menjelaskan kepada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini,  Generasi Z adalah golongan yang berusia tujuh hingga 19 tahun pada 2017 dan akan menjangkau usia 15 hingga 27 tahun pada 2025.

“Jika berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025, sebab itu pelan pendidikan kita mengambil kira (fokus) Generasi Z.

“Pertama, kita tengok Generasi Z, mereka adalah pengguna internet sejak kecil lagi..kita boleh tengok anak-anak kita boleh main gajet dan `game’. Kedua, mereka juga amat selesa dengan penggunaan teknologi dan gajet. Ketiga , mereka juga amat gemar berkomunikasi dengan media sosial. Itu gambaran secara umum tentang Generasi Z dan sebab itu dalam penyediaan (prasarana teknologi dan program) Generasi Z yang akan hidup di alaf baru, sesuai juga dengan TN50 (Transformasi Nasional 2050), kerajaan kita mesti bagi ilmu, pendidikan kepada mereka sesuai dengan zaman mereka.

"Jika kita dulu belajar sesuai dengan zaman ketika itu, dan hari ini kita agak payah menyesuaikan diri dengan zaman sekarang sebab itu kita kadang-kadang bercelaru bila ada perubahan dengan teknologi, kerana kita sendiri buta dengan teknologi berbanding generasi dan bangsa lain di negara maju mereka sudah ke hadapan,”katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Mohd Mahdi Musa (BN- Kota Putera) mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan prasarana, teknologi dan program kepada Generasi Z dalam menghadapi situasi perubahan teknologi, di persidangan Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri itu, pendedahan awal seperti pembelajaran teknologi maklumat, perkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memastikan penguasaan bahasa dan sebagainya antara penekanan kepada Generasi Z.- http://terengganu.news
SHARE

Author: verified_user

0 komen: