Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

AppsJHEAT Peranti Cegah Maksiat

Ghazali (dua kanan) menunjukkan aplikasi AppsJHEAT kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim ketika melancarkan AppsJHEAT Modul e-Maksiat sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEAT Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) memperkenalkan aplikasi dikenali AppsJHEAT bagi memudahkan masyarakat melaporkan sebarang aktiviti kesalahan syariah yang berlaku di negeri ini.

Aplikasi itu boleh dimuat naik secara percuma melalui Google Play bagi telefon yang menggunakan sistem android bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, teknologi telefon pintar itu memudahkan orang ramai membuat aduan sekaligus meningkatkan keberkesanan JHEAT mencegah kegiatan maksiat yang berkaitan dengan jenayah syariah.

“Aplikasi AppsJHEAT adalah projek yang dibangunkan oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Alfateh JHEAT pada tahun 2016.

“Aplikasi ini merupakan program inovasi penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang dapat memudahkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat aktiviti kesalahan syariah kepada bahagian penguatkuasaan syariah JHEAT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan AppsJHEAT Modul e-Maksiat sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEAT Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim.


Pada majlis itu, seramai 71 kakitangan JHEAT diraikan melalui pemberian sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 seorang berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.

Ghazali berkata, sebelum ini laporan tentang aktiviti kesalahan syariah oleh orang awam hanya melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas sahaja.

“Kaedah tersebut dilihat agak menyukarkan kerana ramai yang tidak tahu nombor telefon penguatkuasa syariah dan penyaluran maklumat melalui panggilan juga agak terhad kerana pelapor tidak dapat menghantar gambar aktiviti dan lokasi aktiviti maksiat yang terjadi dengan tepat,” ujarnya.


Katanya, dengan adanya sistem pelaporan aktiviti maksiat secara online (e-Maksiat) yang ada di dalam aplikasi mudah alih AppsJHEAT, semua masalah tersebut dapat diatasi.

Menurut Ghazali, seramai 120 anggota penguatkuasa JHEAT di seluruh negeri ini sentiasa bersiap sedia dan bertindak ke atas laporan yang diterima berkaitan jenayah syariah termasuk kes khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, berjudi, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak menghormati Ramadhan serta pungutan khairat tanpa kebenaran.

No comments: