Thursday, 21 December 2017

2,100 Peserta Bakal Berentap Pada Bantangan Jamboree Sabtu Ini

SHARE


Kerajaan negeri  melalui Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu meneruskan Program Bantangan Jamboree 2017 dengan penyertaaan 2,100 pelumba basikal berbanding 1,300 peserta tahun lepas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, daerah Marang  dipilih sebagai lokasi kejohanan memandangkan bentuk mukabuminya yang bersesuaian untuk aktiviti berbasikal lasak.

Katanya, bentuk muka bumi seperti jalan raya, jalan-jalan kampung, laluan paya, denai, kebun getah dan bukit bukau amat bersesuaian sebagai cabaran kepada peserta berbasikal lasak.

“Program itu sebagai kesinambungan kejohanan berbasikal lasak dan pacuan kenderaan 4x4 yang pernah dianjurkan di daerah Marang, seperti  Tesdec MTB Challenge 2017 di trek Bukit Kor dan Gondang, Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 di Bukit Mawi, Kejohanan Drive Ride Mountain Bike Ride 2012 di Gong Cempedak dan  Jambori MTB 2011 di Kg Kedai Buloh dan Undang

“Penyertaan 2,100 pelumba pada kejohanan kali ini, termasuk 30 peserta dari Thailand dan 10 pelumba Singapura adalah paling ramai berbanding penganjuran sebelum ini.

“Dua kategori diperkenalkan iaitu Kategori Race untuk kayuhan di laluan lasak dan  Hardcore manakala kategori Jamboree lebih kepada kayuhan santai peserta amatur,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Duyong Marina, Kuala Terengganu, petang ini

Menurutnya, laluan kejohanan bermula di Pantai Peranginan Kelulut, Marang kemudian melalui Kampung (Kg) Gong Chempedak, Kg Setar Kanan, Kg Batangan, Kg Jenang, Kg Alur Kumbang dan Kg Alur Tuman yang  melibatkan  sejauh 33 km.

“Kejohanan off road yang menggunakan basikal mountain bike ini melibatkan 70 peratus di laluan lasak ’off road’ manakala 30 peratus trek laluan melibatkan jalan raya,”katanya.

Katanya, penganjuran kejohanan kali kedua itu mampu memperkenalkan daerah Marang sebagai lokasi terbaik sukan basikal lasak dengan struktur dan diversiti mukabumi yang memberi cabaran maksimum.

“Pemilihan lokasi pelepasan peserta di Pantai Peranginan Kelulut pada 23 Disember ini  menonjolkan imej negeri yang mempunyai 244 km pesisiran pantai terpanjang yang sentiasa menjadi antara keunikan destinasi Di Terengganu

“Kejohanan sebegini berupaya menonjolkan keunikan produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di daerah Marang seperti Pulau Kapas, Kampung Tradisional Jenang, Pulau Kekabu, Pasar Minggu Bandar Marang dan ‘river cruise’ Sungai Marang,”katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: