Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini
mengukuhkan kerjasama dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Jabatan Hal
Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dengan mengadakan Memorandum Persefahaman
(MoU) bagi program perkongsian pintar UniSZA bersama masyarakat.
![]() |
Prof. Dr. Mahadzirah |
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, sebelum ini Perpustakaan UniSZA
telah melancarkan Projek Pengorganisasian Bahan dan Pengautomasian Pusat Sumber
(PPS) dari bentuk tradisional kepada PPS berlandaskan teknologi maklumat dan
komunikasi supaya dapat membantu mempertingkatkan proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.
Katanya, satu sistem dikenali sebagai Automasi
Pengurusan Pusat Sumber (APPS) telah dibangunkan dengan menggunakan perisian
Microsoft Access.
“Ianya telah dijalankan di empat buah sekolah
terpilih sebagai projek perintis pada 2012 dan diperluaskan ke tiga buah
sekolah lagi pada 2014.
“Sistem APPS ini juga telah dinaik taraf menggunakan
aplikasi atas talian atau web based pada 2016,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Di Antara UniSZA Dengan YIT
Dan JHEAT Bagi Program Perkongsian Pintar UniSZA Bersama Masyarakat di
Perpustakaan UniSZA, hari ini.
Prof. Dr. Mahadzirah mewakili UniSZA manakala YIT
dan JHEAT masing-masing diwakili oleh Pengarah YIT iaitu Dato’ Dr. Alias
Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Azam Awi.
Menurut Mahadzirah, pihak perpustakaan UniSZA
berhasrat memperluaskan program khidmat masyarakat itu kepada 11 institusi yang
terdiri daripada masjid, sekolah dan yayasan pada tahun ini.
“Menerusi MoU yang dimeterai, kita mensasarkan untuk
memperluaskan sistem APPS versi android kepada institusi terbabit bagi membantu
pelajar dan masyarakat mendapatkan bahan rujukan dari perpustakaan masing-masing
hanya secara atas talian,” ujarnya.
0 komen: