Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Terengganu Belanja RM3 Juta Hadapi Bencana Banjir

Dato' Wan Nawawi (depan, kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim


Lebih RM3 juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk persiapan menghadapi musibah termasuk  banjir di Terengganu, tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail berkata, persiapan itu seperti menyediakan keperluan dan persiapan di 553 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri dan juga bekalan makanan di 142 pangkalan hadapan.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan khusus bagi dalam menghadapi bencana. Bagaimanapun sebagai kerajaaan yang sentiasa prihatin, kami sentiasa cakna kepada rakyat yang terlibat dalam musibah.

"Saya telahpun mengarahkan semua pegawai daerah selaku Pengerusi Bencana Daerah untuk memastikan bahawa pusat-pusat hadapan serta pusat-pusat pemindahan berada dalam keadaan yang sempurna.

"Contoh seperti tandas dan sebagainya. Ini semua menggunakan perbelanjaan melalui peruntukan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Sidang Media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Dato' Aidi Ismail dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Wan Nawawi yang juga Pengerusi Bencana Negeri berkata melalui mesyuarat yang melibatkan beberapa jabatan termasuk pejabat-pejabat daerah itu, beliau amat berpuas hati dengan persiapan yang sudah dibuat dengan rapi dan lancar.

"Semua pejabat daerah iaitu sekretariat kepada pengurusan bencana daerah telah mengambil langkah-langkah awal dan boleh dikatakan amat bersedia sebenarnya menghadapi kemungkinan bencana yang mungkin datang pada bila-bila masa.

"Ianya juga melibatkan persediaan secara menyeluruh daripada komuniti setempat serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) dalam beberapa siri latihan dan simulasi yang telah kita laksanakan di peringkat daerah sekaligus menunjukkan mereka amat bersedia untuk menghadapi bencana," katanya.

Tambahnya, tiga jabatan utama iaitu Jabatan Meterologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk lebih bersedia.

"Jabatan Meterologi Malaysia misalnya harus sentiasa mengemaskini keadaan cuaca semasa agar masyarakat dapat mengetahuinya.


"Dari segi JPS pula, kita nak minta mereka melihat balik tindakan-tindakan tu sama ada berjalan seperti dirancang ataupun tidak," katanya.

No comments: