Persatuan Belia Setia Pakat dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Tebakang menganjurkan Pesta Sukan Air pada 10 November lalu dalam usaha memupuk muafakat dan perpaduan di kalangan penduduk.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Amirullah
Othman berkata, sebelum berlangsungnya pesta berkenaan, pelbagai NGO termasuk
KRT Kampung Tebakang serta penduduk kampung bekerjasama membersihkan kolam yang
lama terbiar untuk dijadikan tempat yang
memberikan manfaat, peluang ekonomi serta boleh dijadikan sebagai tempat riadah
dan sebagainya.
“Usaha
tersebut berhasil dengan perlaksanaan pesta sukan air berkenaan yang menuntut komitmen,
kerjasama, muafakat dan pengorbanan
semua dari mula kerja-kerja membersihkan kawasan dan kolam sehinggalah
perlaksanaan acara,” ujarnya kepada Teganukita, hari ini.
Amirullah
yang juga merangkap Pengerusi MAYC Marang berkata, penganjuran sukan air itu
turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tebakang
dan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Cawangan Tebakang.
Katanya,
antara acara yang diadakan untuk memeriahkan pesta berkenaan termasuk panjat
tiang licin, lumba kayak dan rakit, pukul bantal, tangkap itik dalam air, sarung
ketupat nasi, cucuk benang dalam jarum serta cabutan bertuah.
Dalam
pada itu, Amirullah turut memuji usaha NGO dan penduduk kampung berkenaan yang
telah bertungkus lumus memastikan pesta air tersebut berjalan lancar dan dapat
dilaksanakan seperti yang dirancang.
“Tahniah
kepada Pengerusi KRT Kampung Tebakang, Abd Karim Ibrahim merangkap Pengerusi
Persatuan Belia Sepakat serta semua pihak yang membantu menjayakan program ini,”
ujarnya.
0 komen: