Semasa

[Semasa][grids]

Pelancongan

[Pelancongan][bleft]

Politik

[Politik][bleft]

Bisnes

[Bisnes][twocolumns]

Pendidikan

[Pendidikan][twocolumns]

Sukan

[Sukan][bsummary]

Komuniti

[Komuniti][bleft]

Martabat Keris Warisan Melayu



`Tak kenal maka tak cinta', itulah perumpamaan yang menggambarkan minat Wan Omar Wan Mansor, 46, terhadap senjata tradisional Melayu terutamanya keris dan pembuatan sarung kerana pembuatannya yang bermutu tidak hanya bergantung kepada kemahiran dan pengalaman.

Hasil kerja beliau kini mendapat tempat di hati pencinta senjata tradisional  kerana mempunyai keunikan tersendiri dan masih menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan sarung senjata yang melambangkan kekuatan orang Melayu.

Mula berjinak dalam industri pembuatan sarung sejak berumur 13 tahun menjadikan beliau sangat berpengalaman dan berilmu pengetahuan dalam penghasilan sarung apatah lagi setelah menguasai ilmu ini daripada seorang pembuat sarung ternama di Besut pada 2005.


"Saya mula belajar membuat sarung pada usia belasan tahun daripada pengamatan dengan orang-orang terdahulu.Pada peringkat awal bukan mudah, banyak yang perlu dipelajari selok-belok pembuatan sarung senjata ini.

"Sejak itu, minat dan kecintaan tegar kepada kehalusan seni ini telah  menguasai dunia saya hingga terdorong untuk memulakan bengkel ketukangan sendiri di rumah,"katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata kecintaan itu sekarang menjadi sumber rezeki dan pendapatan tetap yang memberi pulangan agak lumayan untuk beliau menanggung kehidupannya sekeluarga.

Dengan modal RM250, kini beliau mampu tersenyum dengan hasil pendapatannya yang mencapai RM4,000 sebulan dan apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Korban, boleh mencecah RM7,000 sebulan.

Harga minimum sarung yang dijualnya bermula dari RM70 dan boleh mencecah RM2,500 bergantung kepada jenis, kualiti kayu serta ukiran yang dipesan oleh pelanggan.

Wan Omar memasarkan produknya dalam talian seperti Facebook (wanjaja creative), pameran keusahawanan di bawah kraftangan,Yayasan Pembangunan Usahawan dan Risda serta pernah memasuki pasaran Singapura.

Beliau boleh menghasilkan tiga bilah sarung setiap hari jika menggunakan mesin dan sebilah sahaja dalam masa dua hari jika menggunakan tangan sepenuhnya.


"Ini bergantung kepada permintaan dan tempahan pelanggan. Ada yang nak tradisional dan ada nak pembuatan moden tapi kalau ukiran tu banyak akan makan masa tiga hari.

"Ukiran ni pun banyak bentuknya seperti awan larat, cincang pukat, bunga ketumbit dan bunga pulut termasuklah pembuatan ukiran hulu keris yang agak rumit seperti kepala burung dan kepala kuda laut," katanya lagi.

Bakat Wan Omar tidak hanya terhad kepada pembuatan sarung keris, parang, badik, lembing, kerambit dan golok tetapi juga paip tembakau pelbagai reka bentuk mengikut cita rasa tempahan pelanggan.

Jelas beliau lagi, seorang pembuat sarung harus peka dan bijak dalam memilih jenis kayu yang sesuai dengan kehendak pelanggan.

"Seorang pengukir harus menguasai ilmu ini kerana setiap jenis kayu mempunyai corak tertentu serta warna tersendiri yang berbeza dan sekali gus menjadikannya lebih eksklusif.

"Ada lebih daripada 20 jenis kayu yang saya gunakan, antaranya kayu kemuning, buey, macang hutan, sena dan ciku bagi memastikan ia berkualiti.

" Bekalan kayu ni saya beli dari orang asli di Kampung Chini, Pahang termasuklah dari kawasan Tasik Kenyir mengikut ketul. Harganya mengikut ukuran kaki dan boleh mencecah hingga RM300 bagi satu ketul (2 kaki setengah),"kata Wan Omar.


Wan Omar menanam azam untuk terus menjaga warisan Melayu ini supaya tidak hilang ditelan zaman dan kini menurunkan ilmu pertukangan kepada anak bongsunya Wan Muhammad Haziq, 9, yang mula menunjukkan minat dalam seni ketukangan ini.

Untuk itu, beliau amat berharap ada mana-mana pihak yang boleh memberi bantuan bagi membaik pulih bengkelnya atau bina baru bagi membolehkannya mengembangkan pertukangan ini dengan menambah peralatan dan pekerja.

Wan Omar merupakan antara aktivis seni ketukangan setempat yang bertindak memupuk kesinambungan warisan sebagai pemangkin seni dan ekonomi setempat. Oleh itu,  pencinta seni sepertinya harus di bela demi menjaga peninggalan warisan nenek moyang kita yang tidak ternilai ini.

No comments: